suria

Tidak Mahir Komputer Bukan Alasan Tidak Failkan GST

PETALING JAYA: Tidak mahir dalam menggunakan komputer bukan alasan untuk tidak memfailkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana sistem automatik pada hari ini lebih mesra pengguna dan mudah digunakan, kata Pengarah Bahagian GST, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Subromaniam Tholasy.

Sebagai respons kepada aduan peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berhubung kesukaran untuk menggunakan teknologi tersebut, beliau berkata:' Kami menyedari masalah tersebut tetapi pemilik perniagaan perlu menerima perubahan dan mengikut peredaran zaman.

"Kami tidak boleh menerima bahawa mereka katakan tidak faham bagaimana untuk menggunakan komputer kerana sistem jualan adalah automatik.

"Namun, kami tidak mahu menyukarkan para peniaga.

"Kami sedang menggerakkan pegawai kami untuk membantu peniaga ini dan lawatan nasihat akan bermula tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata, program hand holding yang dilaksanakan pada pertengahan tahun lalu merupakan projek berterusan dan Jabatan Kastam akan mendekati pemilik perniagaan untuk program tersebut.

"Mereka boleh juga boleh datang ke pejabat Jabatan Kastam untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu sekiranya perlu.

 "Ia adalah pelaburan sekali sahaja dan mereka hanya perlu menghantar penyata GST sekali dalam tiga bulan," kata Subromaniam.

Walaupun berjanji bahawa jabatan tersebut akan meneruskan program hand holding untuk memastikan peralihan semudah yang mungkin dalam tempoh tiga bulan sebelum GST dilaksanakan, Subromaniam menggesa peniaga untuk tidak menentang perubahan.

"Kami sedang bekerjasama dengan pelbagai pertubuhan seperti Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) dan Persatuan PKS Malaysia untuk mendekati mereka yang mempunyai masalah dan mencetak buku dalam pelbagai bahasa.

Katanya, untuk mengurangkan kos pematuhan GST kepada peniaga, kerajaan bukan sahaja mengedarkan baucar perisian sebanyak RM1,000 tetapi turut memberikan elaun modal dipercepatkan untuk sebarang pembelian perkakasan ICT.

"GST memberikan peluang untuk potongan cukai pendapatan pada masa hadapan.

"Malah, perniagaan akan mendapat manfaat daripada GST kerana potongan cukai pendapatan," katanya.

Begitu juga dengan Jabatan Imigresen dan MyEG juga bersedia untuk membantu ahli perniagaan untuk menggunakan sistem pembaharuan permit pekerja asing.

Seorang jurucakap MyEG berkata, syarikat tersebut cukup bersedia untuk membantu sesiapa sahaja berhubung proses tersebut.

"Kami juga ada meja bantuan, orang ramai boleh menghantar e-mel. Hanya maklumkan bahawa anda ingin memperbaharui permit pekerja asing dan pekerja kami akan membantu anda melalui proses tersebut langkah demi langkah," katanya.

Jabatan Kastam, GST

Artikel Berikut

Artikel Lain