suria

Hampir 80 Penggiat Industri Pembinaan Akan Bantu Pasca Banjir

Adik Mohd Alias Fikri Adnan, 8 duduk membetulkan butang baju sekolah di kediaman abangnya yang reput dan runtuh sebahagiannya akibat ditenggelami banjir baru-baru ini semasa tinjauan fotoBERNAMA di Kampung Semangat, di Kuantan.

KUALA LUMPUR: Hampir 80 penggiat industri pembinaan negara memberi sokongan padu terhadap usaha bantuan pasca banjir yang kini diselaraskan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Usaha menerusi Program Build Brigade itu adalah sebahagian Program Tanggung Jawab Sosial (CSR) CIDB dan para penggiat industri pembinaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Seri Prof Ir Dr Judin Abd Karim turut menyifatkan sambutan penggiat industri itu amat memberangsangkan selepas CIDB menubuhkan Jawatankuasa Pembaikan Rumah Mangsa Banjir di bawah Program Build Brigade itu.

"Majoriti daripada mereka mahu memberi bantuan kepada mangsa banjir. Sebelum jawatankuasa ini diwujudkan, mereka tidak tahu platform sesuai bagi menyalurkan bantuan dan kepakaran masing-masing.

"Atas sebab itulah CIDB telah dipertanggungjawabkan oleh Kementerian Kerja Raya untuk mengelola kerja-kerja pembaikan rumah yang terjejas banjir bersama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan hasilnya jawatankuasa ini ditubuhkan," katanya.

Penggiat industri itu terdiri daripada rakan strategik CIDB, pemaju perumahan, kontraktor, persatuan-persatuan dalam pembinaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Turut memberi sokongan penuh adalah pihak seperti Association of Construction Project Managers Malaysia (ACPM), Institute of Engineers Malaysia (IEM), Malaysia Society for Engineering  and  Technology (MySet), Persatuan Arkitek Malaysia (PAM), Master Builders Association Malaysia (MBAM), Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Persatuan Kontraktor Jentera Malaysia (PKJMM), Syarikat Jana Tanmia Sdn Bhd dan Syarikat Pro Consort Sdn Bhd.

Sementara itu, Ketua Sektor Pembangunan Personel dan Kontraktor CIDB, Datuk Ir Rohaizi Mohd Jusoh berkata, jawatakuasa itu akan mengumpulkan para pelatih Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan sukarelawan-sukarelawan NGO untuk turut serta dalam aktiviti pembaikan kediaman tersebut.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKLW, sehingga 19 Januari lepas, dianggarkan 3,523 unit buah rumah terjejas teruk dan paling banyak di Pahang sebanyak 2,017 unit diikuti Kelantan (712 unit), Terengganu (430 unit), Perak (293 unit) dan Johor (71 unit).

CIDB turut mengalu-alukan penggiat industri pembinaan yang ingin turut sama menyumbang dalam menjayakan program ini dengan menghubungi CIDB Malaysia melalui [email protected]

Artikel Berikut

Artikel Lain