suria

QZ8501: Basarnas Sahkan 53 Mayat Ditemui Setakat Ini

KUALA LUMPUR: Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia mengesahkan telah menemui sejumlah 53 mayat dengan 45 mayat setakat ini telah dikenal pasti identiti oleh Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana Jabatan Polis Republik Indonesia (DVI POLRI).

AirAsia dalam satu kenyataan di sini berkata lapan mayat masih dalam proses pengecaman.

"DVI POLRI mengumumkan bahawa tidak ada identifikasi yang dikeluarkan hari ini. Pasukan DVI POLRI sedang mengumpul lebih banyak bukti DNA mengenai baki penumpang," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut Basarnas dapat mengeluarkan lebih banyak serpihan seperti tingkap, kerusi dan bahagian dalaman, dipercayai dari pesawat AirAsia QZ8501.

Operasi mencari dan menyelamat diteruskan hari ini apabila pasukan penyelam mula menyelam turun ke dasar Laut Jawa untuk meninjau bangkai fiuslaj pagi tadi.

Bagaimanapun, misi terus menghadapi halangan akibat ombak tinggi dan cuaca buruk.

Pesawat AirAsia Indonesia Penerbangan QZ8501, membawa 162 orang, terhempas pada 28 Dis selepas terputus hubungan dengan menara kawalan trafik udara semasa dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura.
AirAsia, QZ8501

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain