suria

MP Sepanggar Sedia Hadapi Tindakan Disiplin

Jumat Idris.
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Umno Sabah, Datuk Jumat Idris memberitahu beliau bersedia untuk berdepan sebarang tindakan diatas kelantangannya dalam bersuara.

Difahamkan jawatankuasa perhubungan Umno negeri itu sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan disiplin ke atasnya.

"Saya bersedia untuk bertanggungjawab di atas kenyataan saya," kata Ahli Parlimen Sepanggar itu.

Jumat, yang lantang mengkritik pentadbiran Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Musa Aman, berkata, beliau mengesahkan jawatankuasa perhubungan Umno negeri itu telah membuat keputusan di atas kelantangannya dalam satu mesyuarat pada minggu lalu.

Beliau berkata hasil mesyuarat tersebut adalah meminta Majlis Tertinggi Umno untuk mengambil tindakan disiplin terhadap dirinya kerana menjejaskan imej parti.

"Saya masih belum menerima sebarang surat tunjuk sebab daripada parti.

"Sekiranya ia diterima, saya akan mempertahan diri kerana saya tidak melakukan apa-apa kesalahan yang mencemarkan imej parti," katanya.

Pada tahun lalu, Jumat mengetuai sebuah kumpulan yang disertai beberapa ketua Umno bahagian negeri itu bertemu Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat aduan terhadap Musa.

Difahamkan tindakan disiplin itu diputuskan selepas Ketua Wanita Umno Sabah, Datuk Armani Mahiruddin, Ketua Pemuda Umno Putatan Shahelmy Yahya dan Ketua Puteri Umno Sabah, Normalah Rasik menggesa tindakan diambil terhadap Jumat kerana kenyataannya menjejaskan reputasi parti.

Jumat turut memberi bayangan bahawa seorang ketua menteri yang baharu diperlukan di Sabah.




Jumat Idris, Umno Sabah

Artikel Sebelum

Artikel Lain