suria

Sedia Cabar Jika Malaysia Ekstradisi Sirul - Peguam Bela

Gambar fail menunjukkan Sirul Azhar hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada April 2012.

PUTRAJAYA: Permohonan untuk mengekstradisi Koperal Sirul Azhar Umar balik ke Malaysia bagi menjalani hukuman gantung sampai mati bertentangan dengan perjanjian ekstradisi Malaysia dengan Australia.

Peguamnya, Kamarul Hisham Kamaruddin berkata, seseorang yang menghadapi hukuman mati tidak boleh diekstradisikan.

"Permintaan untuk mengekstradisi akan bercanggah dengan perjanjian itu dan kita pasti akan mencabar tindakan itu di mahkamah Malaysia," kata Kamarul kepada pemberita ketika ditemui di bangunan mahkamah di sini.

Tambah beliau, jika permintaan ekstradisi itu telah dibuat oleh pihak berkuasa Malaysia, pasukan pembelaannya perlu mengkaji undang-undang berkaitan untuk mencabar tindakan itu.

"Bagaimanapun itu semua hanya andaian buat masa ini. Ia bergantung kepada langkah seterusnya oleh pihak kerajaan dan arahan anak guam saya," katanya.

Kamarul mengesahkan bahawa beliau masih mewakili Sirul walaupun berkata beliau tidak berhubung dengan anak guamnya itu dan tidak pasti di mana dia berada.

Pada 13 Januari lalu, tertuduh pertama Cif Inspektor Azilah Hadri, 38, dan tertuduh kedua, Sirul Azhar, 43, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan kerana membunuh model sambilan rakyat Mongolia, Altantuya Shaariibuu sembilan tahun lepas.

Bagaimanapun Sirul Azhar tidak hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan kes itu kerana dipercayai berada di Australia.

Susulan itu Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Media tempatan kemudiannya memetik laporan akhbar Sydney Morning Herald bahawa kerajaan Australia tidak akan memenuhi permohonan Malaysia untuk mendapatkan perintah ekstradisi kerana ia melibatkan hukuman mati dan Australia merupakan antara negara yang tidak memperuntukkan hukuman mati dalam undang-undangnya.

Artikel Lain