suria

Akta Baharu Mungkin Ganti Akta Kanak-Kanak 2001

Datuk Rohani Abd Karim beramah mesra bersama sekumpulan kanak-kanak Kelab Kiwanis semasa majlis meraikan Ulangtahun Kiwanis Malaysia ke-17 di Taman Tema Sunway pada Ahad. -fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Sebuah akta baharu yang memberi lebih penekanan terhadap kecuaian ibu bapa menjaga anak mereka mungkin digubal menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang sedang dalam proses pindaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata lebih 70 peratus kandungan Akta Kanak-Kanak 2001 didapati perlu dipinda bagi menambah kandungan berhubung kecuaian ibu bapa terhadap anak.

"Memandangkan pindaan yang dibuat adalah lebih 70 peratus, sebab itulah ia tidak seharusnya dipanggil pindaan dan lebih baik dikenali sebagai Akta Kanak-Kanak 2015 yang baharu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Parti Tahunan ke-17 Kanak-kanak Kiwanis 2015, di sini, Ahad.

Katanya akta baharu itu akan lebih memberi fokus terhadap pengabaian ibu bapa dalam penjagaan anak mereka memandangkan kandungan Akta Kanak-Kanak 2001 tidak begitu memberi penekanan tentang perkara itu.

Beliau berkata akta terbabit akan mengenakan hukuman lebih berat kepada ibu bapa yang bersalah mengabaikan anak mereka dan diharap dapat memberi pengajaran kepada ibu bapa sebelum melakukan sesuatu perkara yang memudaratkan anak.

Rohani berkata kementeriannya telah menghantar draf pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 kepada Peguam Negara tahun lepas namun dikembalikan semula kepada kementerian itu untuk lebih diperhalusi dari sudut undang-undang.

"Kami perlu mendapatkan nasihat daripada pihak Peguam Negara berkaitan undang-undang dan saya harap rang undang-undang ini dapat dibentangkan di Parlimen menjelang pertengahan tahun ini," katanya.

Sementara itu, mengulas kes kanak-kanak perempuan yang ditemui dalam keadaan lemah dan kelaparan di sebuah rumah di Sungai Dua, Pulau Pinang, Rohani berkata kanak-kanak berusia tujuh tahun itu kini dirawat di Hospital Seberang Jaya.

"Kami mahu dia dijaga dengan baik dulu sebelum tindakan selanjutnya diambil sebab saya nampak dia kurus dan kurang zat kerana tak diberi makan," katanya.

Kanak-kanak perempuan murid Tahun Satu itu ditemui dalam keadaan lemah dan kelaparan di sebuah rumah yang tidak mempunyai bekalan air dan elektrik Khamis lepas selepas seorang guru membuat laporan polis mengesyaki sesuatu berlaku selepas dia tidak hadir ke sekolah.

Seramai 500 kanak-kanak dari 20 pusat kebajikan seluruh negara diraikan pada Parti Tahunan ke-17 Kanak-kanak Kiwanis 2015, bersempena ulang tahun ke-100 penubuhan Kiwanis Antarabangsa tahun ini.

Akta Kanak-Kanak 2001

Artikel Lain