suria

Sarawak Kaji Guna Pesawat Dron Pantau Kegiatan Pembalakan Haram

Adenan Satem.
KAPIT: Kerajaan negeri sedang mempertimbangkan penggunaan pesawat dron bagi memantau kegiatan pembalakan haram di negeri ini, kata ketua menteri Tan Sri Adenan Satem.

Katanya langkah membekalkan senjata kepada pegawai-pegawai Jabatan Perhutanan nampaknya tidak memadai untuk Sarawak bagi membanteras kegiatan itu di negeri ini.

"Cukuplah dengan rompakan kayu balak secara terang-terang pada siang hari. Saya tidak akan bertolak ansur lagi," tegas beliau.

Adenan berkata demikian pada Majlis Bersama Rakyat di Dewan Suarah Kapit di sini, Sabtu.

Tanpa memberikan butiran lanjut lanjut mengenai dron, Adenan berkata kerajaan tidak lagi akan mengeluarkan konsesi balak.

Kerajaan negeri baru-baru ini telah membekalkan 29 kenderaan pacuan empat roda dan 50 laras senapang patah kepada Jabatan Perhutanan dalam usaha untuk memerangi pembalakan haram di negeri ini.

Tahun lepas sahaja kayu balak haram bernilai kira-kira RM41.16 juta dirampas di Sarawak.

Dalam perkembangan lain, Adenan berkata kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan terhadap pembangunan di kawasan luar bandar.

Beliau berkata mereka yang tinggal di bandar-bandar utama telahpun menikmati begitu banyak kemudahan dari segi pembangunan.

"Adalah menjadi dasar kita untuk menjaga kepentingan penduduk di luar bandar yang masih hidup dalam kemiskinan," kata beliau.

Artikel Lain