suria

"Hanya Dapat Bantuan Sekolah, Yang Lain Memang Tak Ada"

Ahmad dan Muhammad lebih selesa mengesot ketika berada di rumah mereka di Kampung Tengah, Puchong.

PUCHONG: Pendapatan bulanannya yang tidak tetap selama ini mendorong Rosli Abdul Rahim, bapa kepada pasangan kembar siam, Ahmad dan Muhammad, untuk memohon bantuan kewangan bagi menampung perbelanjaan menyediakan keperluan harian anak istimewanya itu.

Bagaimanapun, kepayahan berulang kali turun naik pejabat kerajaan kerana terlalu banyak karenah birokrasi dan prosedur yang merumitkan menyebabkan Rosli serik untuk mengemukakan permohonan.

"Dah banyak kali saya pergi ke pejabat zakat (cawangan Bandar Puteri) tapi terlalu banyak karenah. Sejak itu saya dah serik dan putus asa untuk meneruskan permohonan bantuan," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tengah di sini, baru -baru ini.

Menurut bapa kepada enam cahaya mata itu, sebelum ini beliau menghantar borang pemohonan kepada Lembaga Zakat Selangor untuk mendapatkan bantuan bagi menyediakan lampin pakai buang dan beg najis Ahmad dan Muhammad.

Katanya, selama 13 tahun, dia membelanjakan sekurang-kurangnya RM500 sebulan untuk membeli dua barangan utama itu untuk membolehkan kedua-dua anak kembarnya itu dapat menjalani kehidupan dengan selesa.

Sebelum ini, mStar Online melaporkan mengenai dugaan yang dihadapi Rosli selepas dua anaknya berjaya dipisahkan ketika berusia empat tahun menerusi pembedahan yang mencatat sejarah itu.

Lebih menyedihkan apabila ibu kandung anak kembar itu, Asiah Kanda meninggal dunia akibat kanser pada 2011.

Menceritakan lebih lanjut, kata Rosli, walaupun beliau sudah serik, namun ibu tiri Ahmad dan Muhammad, Junaidah Awang tidak mahu mengalah dan tetap mencuba nasib untuk mengemukakan permohonan  baharu.

"Saya memang dah putus-asa tapi ummi mereka pergi semula ke pejabat zakat untuk mendapatkan bantuan. Ummi mereka  kata kalau dapat bantuan sekurang-kurangnya dapat meringankan beban saya," katanya.

Bagaimanapun, Rosli berkata, proses permohonan itu mungkin mengambil masa kerana pihak berkenaan meminta surat pengesahan doktor mengenai keadaan adik-beradik itu.

"Mereka minta pula surat doktor yang mengesahkan kedua-dua beradik itu memang pakai pampers dan beg najis," katanya sambil menggeleng kepala.

Selain itu, Rosli mendakwa tidak pernah menerima bantuan kerajaan selepas kali terakhir menerima sumbangan daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Sepanjang yang saya ingat kali terakhir kami terima bantuan beg najis untuk tempoh setahun daripada Dr Mahathir tapi saya tak ingat tahun bila. Lepas tu tak ada dah bantuan... nak buat macam mana hidup harus diteruskan," katanya.

Ketika ditanya adakah kerajaan pernah berjanji untuk membantu keluarga itu, Rosli berkata: "Dalam akhbar selepas pembedahan Ahmad dan Muhammad kata begitu (beri bantuan) tapi tak ada hitam putih mengenainya."

Mengulas mengenai Dr Mahathir, Rosli berkata, Ahmad dan Muhammad gembira dapat bertemu tokoh yang disanjung ramai itu, malahan beliau bagaikan idola adik-beradik istimewa itu.

"Along dan angah suka sangat bila dapat jumpa Dr Mahathir. Beliau pernah juga datang melawat anak saya selepas pembedahan pemisahan di Hospital King Fahd National Guard di Riyadh, Arab Saudi," katanya.

Mahathir Mohamad dan isteri Datin Seri Dr Siti Hasmah Mohd Ali sedang bermesra dengan Mohammad yang dipangku ibunya Aishah Kanda, sementara suaminya Roslisedang mendukung anak yang sulong Ahmad di Hospital Raja Fahd di sini,

"Dr Mahathir cakap nama dia pun ada Mohamad sama macam nama saya," katanya Muhammad yang petah bercakap dan mudah mesra itu memberi maklum balas spontan mengenai Dr Mahathir.

Bagaimanapun, kata Rosli, setakat ini, hanya Kementerian Pendidikan menyalurkan bantuan persekolahan sebanyak RM900 seorang untuk kedua beradik itu setiap tahun.

"Hanya dapat bantuan persekolahan sahaja, bantuan lain memang tak ada," katanya.

Artikel Lain