suria

Paras Sungai Meningkat, Mahasiswa Korban Banjir Ketujuh Di Pahang

Beberapa penduduk meredah banjir yang melanda kampung mereka semasa tinjauan fotoBERNAMA di Kampung Pulau Rusa, di Kuantan, Khamis. Meskipun kebanyakan kawasan yang dilanda banjir di negeri ini sudah surut dan kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan namun di daerah Pekan beberapa kampung masih lagi ditenggelami banjir berikutan limpahan air Sungai Pahang yang mengalir turun dari Taman Negara Kuala Tahan.
KUANTAN: Hujan tanpa henti dalam tempoh 24 jam di Kuantan menyaksikan paras sungai meningkat dengan cepat dan banjir meragut nyawa mangsa ketujuh di negeri ini.

Seorang mahasiswa berusia 24 tahun mati lemas berhampiran Kampung Temai Hilir di Pekan selepas tergelincir dan terjatuh ke dalam Sungai Pahang.

Sehingga pukul 8 pagi Jumaat, jumlah mangsa berjumlah 11,819 orang dari 103 kampung mendapatkan perlindungan sementara di 57 pusat pemindahan banjir.

Hanya lima daerah masih terjejas kerana semua mangsa banjir di Jerantut telah dibenarkan pulang ke rumah mereka selepas banjir surut.

Hilir Pekan mempunyai jumlah mangsa banjir paling ramai dengan 7, 414 orang dari 53 buah kampung mendapatkan perlindungan di 26 pusat pemindahan.

Daerah lain adalah Maran ialah 2,618 orang di 17 pusat pemindahan, Kuantan (1,012 orang di tiga pusat pemindahan), Temerloh (611 orang di lima pusat pemindahan) dan Bera (164 orang di enam pusat pemindahan).

Amaran gelombang ketiga yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa menyaksikan Kuantan dan Pekan menerima kesan selepas banjir selepas kemusnahan besar-besaran di pekan-pekan di Temerloh dan Mentakab ketika gelombang kedua.

Sehingga 12.15 tengahari, paras air di Kuala Sungai Chini adalah di 15.60 meter (bahaya 14.90 meter) dan Paloh Inai di 10.74 meter (10.30 meter).

Di tempat lain, 10 sungai yang mengalir di daerah Jerantut, Lipis, Temerloh, Maran, Kuantan dan Pekan telah diletakkan pada paras amaran berikutan kenaikan air akibat hujan yang berterusan di bahagian hulu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain