suria

QZ8501: Helikopter Indonesia Bawa Beg Pelampung Angkat Ekor Pesawat

PANGKALAN BUN: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Indonesia pada Jumaat membawa dua beg pelampung menggunakan helikopter menjelang operasi mengapungkan bahagian ekor pesawat AirAsia dari dasar laut, dengan harapan kotak hitam yang dapat mendedahkan punca bencana dapat ditemui.

Penerbangan AirAsia Indonesia QZ8501 hilang dari skrin radar pada 28 Disember kurang dari separuh perjalanan dua jam dari bandar kedua terbesar di Indonesia, Surabaya ke Singapura.

Tidak ada yang terselamat di kalangan 162 penumpang dan anak kapal dalam pesawat tersebut.

Pesawat Airbus A320-200 membawa kotak hitam perakam suara kokpit dan data penerbangan yang terletak di bahagian bahagian ekor. Para pegawai bagaimanapun memberi amaran bahawa ia berkemungkinan terpisah daripada bahagian ekor pesawat.

Bahagian ekor pesawat itu ditemui pada Rabu, dalam keadaan terbalik di dasar laut kira-kira 30 km (20 batu) dari lokasi terakhir pesawat diketahui, pada kedalaman kira-kira 30 meter.

"Bagi operasi hari ini, kami akan menggunakan helikopter untuk membawa beg pelampung yang akan membantu mengangkat ekor," kata Leftenan Kolonel Penerbang Jhonson Hendrico Simatupang kepada Reuters.

Beliau berkata cuaca baik pada pagi Jumaat.

"Tetapi kami menjangkakan perubahan secara tiba-tiba pada hari yang sama," katanya. "Jadi kita mengambil kesempatan ini sekarang dan menggerakkan beg pelampung secepat yang mungkin."

Ketua agensi mencari dan menyelamat Indonesia, Bambang Fransiskus Soelistyo, berkata di Jakarta pada hari Khamis bahawa kren juga mungkin akan digunakan dalam usaha mengangkat ekor.

Saudara-mara mangsa telah menggesa pihak berkuasa menjadikan usaha mencari mayat mangsa sebagai keutamaan.

Kapal dengan 'pengesan isyarat ping' akustik yang direka untuk mengambil isyarat dari kotak hitam yang berada di lokasi tidak lagi digunakan, apabila terdapat tanda-tanda keyakinan di kalangan pegawai-pegawai Indonesia bahawa perakam akan ditemui tidak lama lagi.

Pegawai penyiasat di Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSC) Nurcahyo Utomo, berkata masa yang diambil untuk menganalisis apa yang berlaku kepada penerbangan sebahagiannya bergantung kepada keadaan perakam.

NTSC mengetuai siasatan, dengan agensi penyiasatan kemalangan Perancis, BEA juga secara rasmi mengambil bahagian.

44 mayat dan serpihan kapal terbang telah berjaya diambil dari permukaan perairan Borneo, tetapi angin kencang dan ombak tinggi telah menghalang usaha untuk mendapatkan bahagian bersaiz lebih besar yang disyaki bangkai pesawat, iaitu yang dikesan oleh sistem sonar di dasar laut.

AirAsia Indonesia, di mana 49 peratus sahamnya dimiliki oleh kumpulan AirAsia yang berpangkalan di Malaysia, berdepan tekanan daripada pihak berkuasa di Jakarta sejak kemalangan itu.

Kementerian Pengangkutan telah menggantung lesen syarikat penerbangan itu di laluan Surabaya-Singapura dengan berkata ia hanya diberi kebenaran untuk terbang di laluan itu pada hari Isnin, Selasa, Khamis dan Sabtu.

Penerbangan QZ8501 bagaimanapun berlepas pada Ahad, walaupun kementerian itu berkata ia tidak mempunyai kaitan dengan kemalangan itu.

Walaupun punca kemalangan masih tidak diketahui, biro cuaca negara telah berkata bahawa ribut tropika bermusim yang biasa berlaku di kawasan itu mungkin menjadi faktor.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain