Atasi Banjir: Empangan Bernilai RM3 Bilion Dibina Di Kelantan - Semasa | mStar

Atasi Banjir: Empangan Bernilai RM3 Bilion Dibina Di Kelantan

KUALA LUMPUR: Satu projek empangan pelbagai guna di hulu Sungai Kelantan bernilai kira-kira RM3 bilion akan dibina tidak lama lagi sebagai sebahagian langkah utama penyelesaian banjir secara total di pantai timur.

Pengarah Bahagian Pengurusan Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) Ab Qahar Osman berkata ia merupakan satu projek tebatan banjir dikenal pasti dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) untuk diberi keutamaan bagi mengatasi bencana banjir pada masa akan datang.

"Untuk RMK-11 kita akan tumpukan pada beberapa cadangan bagi selesaikan masalah banjir secara total. Kos pembinaan (empangan itu) yang dianggarkan adalah RM3 bilion dan akan mengambil masa kira-kira lima tahun untuk disiapkan.

"Kita mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku baru-baru ini yang mana sungai tidak mampu menampung kuantiti air hujan," katanya.

Katanya, empangan itu bukan hanya berfungsi sebagai kawasan tadahan air hujan bagi mengelak berlakunya banjir tetapi menjana tenaga elektrik, menjadi saluran pengairan air dari sungai dan membekalkan air untuk pengguna domestik.

Berkongsi cerita mengenai banjir di pantai timur, Ab Qahar berkata jumlah hujan yang direkodkan di negeri-negeri pantai timur yang terlibat banjir dalam masa 10 hari adalah 850mm melebihi paras normal iaitu 100mm.

"Sehubungan itu, sungai-sungai utama tidak mampu menampung kuantiti air hujan itu dan menyebabkan air mengalir terus memasuki kawasan penempatan penduduk," katanya.

Setakat ini katanya, beberapa projek tebatan banjir telah dilaksanakan di Kelantan di bawah RMK-10 iaitu projek meninggikan tebing dan melebarkan sungai supaya air tidak melimpah dengan perbelanjaan kira-kira RM100 juta.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan projek tebatan banjir akan diberi keutamaan dalam RMK-11.

Sementara itu, Pensyarah Perancangan Bandar dan Wilayah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam Prof Madya Ahmad Fuzi Arshad berkata pembinaan empangan di hulu sungai bukan sahaja untuk mengelak banjir namun air yang ditakung itu boleh dimanfaatkan ketika musim kemarau.

"Bagaimanapun, keluasan empangan itu bergantung kepada jumlah hujan. Walaupun keluasan kecil tetapi boleh juga dibina dalam jumlah yang banyak di beberapa hulu sungai utama," kata Ahmad Fuzi.

Beliau turut bersetuju dengan cadangan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyarankan lebih banyak 'lebuh raya air' dibina di negeri-negeri berisiko banjir termasuk membina terusan dan parit yang boleh menampung air pada skala yang lebih besar.

Katanya, walaupun pembinaan 'lebuh raya air' itu mungkin memakan masa panjang untuk disiapkan namun ia dapat memberi manfaat kepada rakyat di kawasan berisiko banjir.

Pakar ekonomi Prof Dr Barjoyai Bardai berpendapat kerajaan mampu membina 'lebuh raya air' serta beberapa projek tebatan banjir menggunakan dana sendiri tanpa melibatkan dana luar kerana projek seumpama itu merupakan pelaburan jangka panjang.

Katanya, pelaburan kerajaan terhadap projek seumpama itu mampu meningkatkan kaedah pengurusan banjir dan memperbaiki sistem pengairan yang cekap di kawasan sensitif terhadap banjir.

"Itu mungkin libatkan belanja besar tetapi membantu mengelakkan kerajaan menanggung kos lebih tinggi bagi membaik pulih kerosakan selepas banjir," katanya.

Tambahnya, bencana banjir sememangnya tidak dapat dielakkan memandangkan negara menerima hujan lebat monsun setiap hujung tahun yang boleh menyebabkan berlakunya bencana itu.


Sungai Kelantan , Banjir , RMK-11

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

Artikel Lain

Gadis nyaris dirogol lelaki bogel

Spurs pecat Pochettino!