suria

Banjir: Kementerian Pertahanan & Kementerian Kerja Raya Bina Jambatan Sementara

Datuk Seri Hishammuddin
KUALA LIPIS: Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kerja Raya akan membina jambatan sementara di dua buah kampung selepas jambatan asalnya runtuh akibat banjir.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, jambatan sementara akan dibina di Sungai Tanum berhampiran Kampung Aur Gading di Kuala Lipis dan Sungai Stelu di Gua Musang.

Beliau menjelaskan, untuk Sungai Tanum, anggota tentera akan membina 400 modul titi gantung untuk menyediakan laluan alternatif bagi kampung-kampung di sana.

"Titi gantung dengan ukuran 50 meter panjang dan dua meter lebar boleh digunakan oleh penunggang motosikal dan pejalan kaki. Ia boleh disiapkan dalam tempoh dua jam.

"Ini hanyalah langkah sementara memandangkan jurutera tentera juga akan membina sebuah jambatan bailey untuk menggantikan titi gantung itu," katanya pada sidang akhbar selepas melawat tiga buah kampung yang jambatannya runtuh pada Sabtu.

Tambahnya jambatan bailey akan dapat menampung kenderaan sehingga 60 tan.

"Ia juga merupakan langkah sementara sehingga jambatan kekal dibina," katanya.

Hishammuddin juga mengumumkan bahawa Jambatan Sungai Stelu yang runtuh akan digantikan dengan jambatan sementara 200 meter.

"Kedua-dua kementerian juga berjaya membina 150 meter laluan alternatif antara Kampung Jongak Batu dan Kampung Pasir Raja di Dungun Terengganu.

"Kerja-kerja bagi laluan alternatif bermula pada Khamis dan selesai pada Jumaat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata Tentera Udara Diraja Malaysia telah melakukan 303 penerbangan dalam usaha menyampaikan bantuan banjir di seluruh negara.

"Sebanyak 2,247 tan bantuan telah dihantar melalui udara dan darat.

"Angkatan Tentera komited dalam membantu mangsa-mangsa banjir dalam masa yang mencabar ini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain