suria

QZ8501: Usaha Cari Kotak Hitam Mungkin Ambil Masa Seminggu

Pasukan penyelam Indonesia membuat persiapan peralatan di dek kapal SAR Purworejo untuk menjalankan operasi mencari penumpang penerbangan AirAsia QZ8501 di pelabuhan Kumai, daerah Pangkalan Bun, Khamis. -foto REUTERS
PANGKALAN BUN: Pasukan penyelam untuk mencari bangkai pesawat AirAsia di perairan Borneo tidak dapat menyambung semula operasi besar-besaran pada Khamis dalam keadaan cuaca buruk dan laut bergelora, manakala seorang pegawai keselamatan udara berkata usaha mencari perakam kotak hitam penerbangan mungkin akan mengambil masa kira-kira seminggu.

Krew penyelam telah bersiap sedia untuk turun menyiasat objek besar yang dikesan oleh sonar di dasar laut, yang terletak hanya pada kedalaman 30-50 meter (100-165 kaki), di mana pasukan penyelamat percaya ia adalah bangkai pesawat Airbus A320-200 yang membawa 162 penumpang apabila ia terhempas pada Ahad ketika dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura.

"Saya berharap bahawa maklumat terkini itu betul dan pesawat dijumpai," kata pemilik AirAsia, Tony Fernandes, di Twiiter, Khamis.

Seorang penyelidik keselamatan udara yang berkhidmat dengan Jawatankuasa Kebangsaan bagi Keselamatan Pengangkutan, Toos Sanitiyoso, berkata beliau berharap kotak hitam data penerbangan dan perakam suara dapat ditemui dalam masa seminggu, sambil menunjukkan tanda keraguan berhubung lokasi pesawat.

"Perkara utama adalah untuk mencari kawasan utama bangkai dan kemudian kotak hitam," katanya kepada pemberita.

Tiada satu pun tanda 'ping' kotak hitam yang telah dikesan, katanya.

"Terdapat dua langkah untuk mencari kotak hitam. Satu cara ialah kita cuba mencari bahagian terbesar bangkai ....," katanya.

Penyiasat membuat andaian berdasarkan teori bahawa pegun aerodinamik dikurangkan apabila juruterbang meningkatkan ketinggian untuk mengelakkan ribut dalam 40 minit penerbangan.

Setakat ini, sekurang-kurangnya tujuh mayat telah dijumpai dari perairan berhampiran lokasi kemalangan yang disyaki, bersama-sama dengan serpihan seperti beg pakaian, gelongsor kecemasan dan jaket keselamatan.

Mayat-mayat yang ditemui dari Laut Jawa dibawa menggunakan beberapa keranda ke Surabaya, di mana saudara-mara mangsa telah berkumpul, untuk pengenalan. Pihak berkuasa telah mengumpulkan DNA daripada saudara-mara untuk membantu mengenal pasti mayat.

"Kami meminta universiti untuk bekerjasama dengan kami, dari seluruh negara," kata pengarah eksekutif di jawatankuasa pengenalan mangsa bencana Indonesia Anton Castilani, .

Kebanyakan mereka di atas kapal adalah dari Indonesia. Tiada mangsa selamat ditemui.

Artikel Lain