suria

Banjir Di Kelantan, Terengganu Beransur Pulih

Penunggang motosikal menolak kenderaannya yang rosak ketika meredah air berarus deras yang melimpahi jalan Kuantan-Pekan di kilometer 25 sejauh 500 meter semasa tinjauan fotoBERNAMA di Kuantan, Khamis.

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu beransur pulih dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan terus mencatat penurunan berbanding petang Khamis manakala di Perak sedikit meningkat dan di Pahang tidak berubah. 

Di KELANTAN, jumlah mangsa di 166 pusat pemindahan di tujuh jajahan berkurangan kepada 30,309 orang berbanding 42,163 petang Khamis, demikian menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan.

Keadaan cuaca cerah dan tiada hujan sejak lima hari lalu membolehkan semakin ramai mangsa banjir di negeri ini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Setakat malam Khamis, jumlah mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan di Tanah Merah ialah 14,184 orang, Kuala Krai (5,645 orang), Machang (3,850 orang), Gua Musang (3,006 orang), Kota Baharu (1,440 orang), Pasir Mas (1,208 orang) dan Tumpat (976 orang). 

Di TERENGGANU keadaan banjir di negeri itu secara keseluruhannya semakin pulih dan jumlah mangsa banjir juga turun kepada 7,753 orang malam Khamis berbanding 8,664 orang pada sebelah petang.

Menurut portal MKN Terengganu, mangsa yang berada di pusat pemindahan sekarang ialah 4,072 orang di Kemaman, Dungun (3,544 orang), dan Kuala Terengganu (137 orang). 

Lapan pusat pemindahan masih beroperasi sehingga malam iaitu empat di Dungun, Kemaman (tiga) dan Kuala Terengganu (satu).

Berbeza di PERAK, jumlah mangsa banjir di kawasan Perak Tengah, Kuala Kangsar, Hulu Perak, Kerian dan Manjung semakin meningkat kepada 7,428 mangsa daripada 2,024 keluarga berbanding 7,412 mangsa daripada 2,018 keluarga, pada sebelah petang.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak, jumlah mangsa di Perak Tengah meningkat kepada seramai 5,252 mangsa daripada 1,438 keluarga yang ditempatkan di 20 pusat pemindahan.

Di daerah Kuala Kangsar, jumlah mangsa meningkat kepada  1,210 orang daripada 321 keluarga manakala Hulu Perak (764 mangsa), Kerian (107 mangsa) dan Manjung (95 mangsa).

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan kekal sebanyak 138 orang di dua daerah terjejas iaitu Segamat (93 orang) dan Batu Pahat (45 orang).

Di PAHANG, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, jumlah mangsa banjir sehingga 9 malam kekal 45,366 orang sepertimana sebelah petang.

Katanya, kesemua mereka ditempatkan di 215 buah pusat pemindahan di lapan daerah dengan Temerloh mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 20,962 orang, Pekan (11,220 orang), Jerantut (4,563 orang), Bera (3,228 orang), Maran (2,562 orang), Lipis (1,641 orang), Kuantan (1,085 orang) dan Rompin (105 orang).

Artikel Sebelum

Artikel Lain