suria

Xing Xing, Liang Liang Tarikan Utama Pelancong Ke Zoo Negara

TAHUN 2014, mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila Malaysia menerima kehadiran pasangan Giant Panda Xing Xing dan Liang Liang yang dipinjamkan melalui Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Giant Panda dengan negara China selama 10 tahun. 

Nyata haiwan comel ini cukup menarik perhatian semua pihak dan sebaik sahaja tiba menerusi penerbangan khas MAS Kargo dari Chengdu, China pada 21 Mei lalu ia terus ditempatkan di eksibit yang dibina khas di Pusat Konservasi Panda di Zoo Negara. 

Tidak dinafikan sejak ditempatkan di eksibit khas di Zoo Negara, pasangan  Giant Panda ini menjadi tarikan utama pengunjung zoo berkenaan. 

Pengarah Zoo Negara, Shahril Shariff. Foto LOW LAY PHON/THESTAR.


Menurut Pengarah Zoo Negara, Shahril Shariff, kedatangan pelancong meningkat 20 peratus berbanding tahun lalu dan beliau menjangkakan jumlah tersebut dapat mencecahkan sehingga 700,000 menjelang penghujung 2014. 

Pasangan giant panda, Xing Xing yang juga panda jantan dan Liang Liang, betina itu diletakkan di tempat khas kerana haiwan ini memerlukan penjagaan rapi apabila kerajaan membina sebuah kompleks yang serba canggih untuk meletakkan pasangan giant panda ini. 

Menurut Pengarah Zoo Negara, Shahril Shariff cuaca di negara ini sesuai untuk panda kerana Malaysia menerima sinaran matahari sepanjang tahun. 

Namun beliau mengakui bukan mudah untuk mengendalikan panda ini, kerana dua ekor panda ini mempunyai karektor yang berbeza. 

"Liang Liang agak agresif, namun ia kurang aktif. Sebaliknya Xing Xing lebih mudah didekati dan gemar menghabiskan masa dengan makan dan tidur. 

"Setiap hari panda makan kira-kira 40 hingga 50 kilogram buluh, selain sayur-sayuran, buah-buahan serta kek panda," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di Zoo Negara baru-baru ini. 

Dr Mat Naim Ramli. 

Sementara itu, Pengarah Zoologi, Hospital, Perkhidmatan Veterinar, Pusat Konservasi Panda, Dr Mat Naim Ramli berkata, haiwan tersebut hanya makan dua jenis buluh, iaitu buluh betung dan aur. 

"Panda merupakan haiwan yang bijak ia mempunyai sensori bau yang sangat sensitif sekaligus membolehkannya mengenalpasti jenis buluh yang digemarinya.

"Ia makan buluh betung dan aur, buluh ini merupakan dua jenis buluh tempatan yang menjadi pilihan mereka. Selain daripada itu, kita juga menyediakan kek panda yang setiap satunya mempunyai berat kira-kira 300 gram

"Kek Panda merupakan menu wajib setiap kali panda diberi makan, ia diperbuat daripada kacang soya, jagung, beras, minyak dan beberapa bahan lain," katanya sambil mengakui usaha untuk membiakkan panda satu cabaran kepada pihak pengurusan zoo. 

Liang Liang lebih banyak menghabiskan masanya untuk tidur.

Dr Naim berkata, oleh kerana usia Xing Xing masih muda iaitu lapan tahun, ia masih belum tahu kaedah betul untuk mengawan. 

"Panda hanya mengawan empat kali dalam tempoh setahun, iaitu pada Februari hingga Mei. 

"Usia Xing Xing yang masih muda menjadi cabaran dalam usaha pembiakan haiwan ini. Namun berdasarkan kajian dan pemerhatian yang dijalankan ketika proses mengawan akan berlaku, panda betina akan mempunyai tingkah laku yang berbeza dan kurang makan," katanya sambil menambah pihak zoo hanya boleh menyimpan anak panda sehingga usianya 2 tahun kerana selepas tempoh tersebut anak panda itu perlu dipulangkan semula ke China. 

Xing Xing lebih banyak meluangkan masa untuk makan buluh tanpa mempedulikan apa yang berlaku di sekitarnya. 


Justeru, beliau melihat Program Perjanjian Kerjasaman Konservasi Antarabangsa Giant Panda ini bakal memberikan impak positif kepada bukan sahaja kedatangan pelancong ke zoo malah menjalankan penyelidikan konservasi Giant Panda di samping dapat membangun serta melatih kepakaran tempatan mengenai usaha pemuliharaan panda. 

"Teknik yang dijalankan oleh negara China boleh digunapakai untuk meningkatkan usaha konservasi spesies-spesies tempatan seperti harimau, seladang, tapir dan beruang matahari yang semakin pupus di negara kita. 

"Kita juga turut menjalankan usaha konservasi dengan menghantar tapir ke Jepun dan harimau Malaya ke Zoo Singapura. Ini bagi membolehkan usaha konservasi dijalankan sama seperti yang dilaksanakan oleh negara China," katanya.
 

Giant Panda, Xing Xing, Liang Liang

Artikel Sebelum

Artikel Lain