suria

Saya Bertanggunjawab Uruskan Banjir, Kata Muhyiddin

Muhyiddin (tengah) menghadiri Majlis Hi-Tea Hari Krismas anjuran Persekutuan Kristian Malaysia di Subang Jaya pada Khamis. Turut kelihatan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali (kiri). - fotoBERNAMA
SUBANG JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa beliau bertanggungjawab menguruskan krisis banjir yang melanda negara ini ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berada di luar negara.

"Jangan bimbang, saya bertanggungjawab ketika Perdana Menteri tiada di sini. Saya memangku tugas beliau, jadi tidak perlu risau. Percayalah pada saya.

"Saya akan uruskan perkara ini dengan sebaiknya," katanya ketika ditemui pada sambutan Krismas anjuran Pertubuhan Kristian Malaysia di sini, Khamis.

Muhyiddin meyakinkan semua yang hadir bahawa beliau sentiasa berhubung dengan Najib untuk memaklumkan mengenai perkembangan situasi banjir di negara ini.

Beliau turut memberitahu pemberita bahawa tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat ekoran banjir besar tersebut melainkan sekiranya bekalan elektrik terputus sepenuhnya atau bekalan penting tidak dapat disampaikan dan jika bilangan mangsa meningkat kepada ratusan ribu.

Katanya, sekiranya perintah darurat diisytiharkan, perkara yang paling penting adalah tindak balas operasi bantuan dan untuk memastikan semua nyawa selamat dan bantuan serta bekalan makanan dihantar.

Muhyiddin turut berkata, kerajaan akan menggerakkan semua aset termasuk aset dari bukan kerajaan dan swasta untuk membantu usaha menyelamatkan mangsa sekiranya banjir semakin buruk.

"Jika kita perlu menggerakan semua aset, saya akan mengarahkan helikopter peribadi dan menghubungi agensi swasta dan agensi tidak terlibat dalam operasi banjir untuk membantu," katanya.

"Saya mahu berikan jaminan bahawa mereka (pasukan menyelamat) akan berikan tumpuan yang sepenuhnya untuk menyelamatkan setiap nyawa yang terlibat dalam banjir ini," katanya.

Muhyiddin turut menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu kerana ia boleh menambahkan lagi kesulitan kepada keluarga mangsa.

Beliau akan melawat Pengkalan Chepa pada hari ini.

Namun, berikutan cuaca yang tidak menentu, Muhyiddin memberitahu pemberita bahawa beliau mungkin melawat Kuala Terengganu dan Kuantan jika kapal terbang tidak boleh mendarat di Kelantan.

Banjir yang melanda Pantai Timur dilaporkan antara yang terburuk dengan lebih 90,000 mangsa dipindahkan sehingga Khamis.
Muhyiddin Yassin, banjir

Artikel Lain