suria

Firefly Sediakan Penerbangan Bantuan Dan Menyelamat Ke Pantai Timur

GEORGE TOWN:  Firefly Airlines menyediakan penerbangan menyelamat dan bantuan ke Kota Baharu serta Kuala Terengganu sebagai sumbangannya untuk menyalurkan bantuan kecemasan kepada mangsa banjir di Pantai Timur.

Ketua pegawai eksekutifnya Ignatius Ong berkata semua tempat duduk dan ruang kargo yang kosong penerbangan Firefly dari dan ke dua lapangan terbang itu akan diderma dan digunakan bagi tujuan tersebut dengan serta merta.

"Kami meminta semua pihak, badan kerajaan, NGO, kumpulan persendirian, pertubuhan dan orang ramai menghubungi pusat pengumpulan Firefly bagi mendapatkan maklumat tentang cara untuk menggunakan perkhidmatan ini.

"Memandangkan jumlah mangsa yang dipindah kini melebihi 100,000 orang, saya rasa adalah amat penting bagi kita semua mengetepikan sebarang perbezaan dan sebaliknya berganding bahu serta bersatu hati untuk membantu rakyat senegara kita ketika mereka amat memerlukan bantuan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ong berkata tiga pusat pengumpulan telah dibuka dan kini bersedia menerima sumbangan dalam bentuk barangan seperti kain selimut, kain sarong, lampin, susu bayi, biskut, kopi dan makanan kering.

Tiga pusat itu ialah Firefly Biz Lounge, Tingkat Satu Skypark, Terminal Subang, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang di Selangor; Pusat Penjualan Tiket Firefly Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Baharu dan Pusat Penjualan Tiket Firefly Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, katanya.

Pusat berkenaan dibuka setiap hari dari 9 pagi hingga 5 petang.

"Firefly mengadakan perkhidmatan antara Kota Baharu dan Pulau Pinang sekurang-kurangnya sekali sehari. Penerbangan tambahan ke Kota Baharu dijadual diadakan pada Sabtu (27 Dis) dan Ahad (28 Dis), melalui Subang," kata Ong. 

firefly, banjir

Artikel Sebelum

Artikel Lain