suria

Maran Dilanda Banjir Terburuk Dalam Tempoh Tujuh Tahun

BANJIR… Bandar Maran dilanda banjir selepas hujan tanpa henti selama tiga hari pada Selasa. Kampung yang berada di kawasan rendah sekitar Kuantan dilanda banjir selepas hujan lebat tanpa henti selama empat hari dan air pasang besar. Jabatan Meteorologi meramalkan hujan lebat di Pantai Timur sehingga minggu depan. --foto BERNAMA
MARAN: Maran dilanda banjir terburuk dalam tempoh tujuh tahun apabila bandarnya dinaiki air kira-kira 1.2 meter malam semalam menyebabkan segala operasi melibatkan premis perniagaan, bank dan beberapa bangunan agensi kerajaan terjejas hari ini.

Seorang peniaga, Ngo Kee Chiew, 36, berkata kejadian banjir malam semalam merupakan yang terburuk pernah dialaminya selepas 2007 semenjak membuka bengkel membaiki kenderaan di sini pada 2002.
 
"Hujan turun tidak berhenti sejak petang semalam (22 Dis) menyebabkan air naik dengan cepat. 
 
"Sebaik mendapat maklumat pukul 11 malam, saya bergegas dari rumah untuk selamatkan barang di kedai, namun tidak sempat kerana air sudah naik paras dada dan kebanyakan jalan tidak boleh dilalui.
 
"Semasa banjir buruk tahun lepas kita masih sempat selamatkan barang, namun tahun ini, saya kerugian kira-kira RM30,000 kerana kebanyakan barang rosak, " katanya kepada Bernama ketika sedang membersihkan kedainya di sini hari ini.
 
Tinjauan Bernama mendapati antara agensi yang turut terjejas berikutan kejadian banjir malam semalam termasuk Perpustakaan Awam Maran, Jabatan Veterinar, Bank Simpanan Nasional dan CIMB cawangan Maran.

Mangsa banjir Nur Saida Abd Rafar, 31, berkata air mula naik di kawasan rumahnya di Taman Maran Jaya kira-kira 3 pagi setelah hujan lebat sejak petang semalam.
 
"Semasa itu saya sedang tidur, namun terjaga sebaik mendengar bunyi bising pukul 1 pagi (23 Dis), menyebabkan saya dan suami hanya sempat mencapai beberapa barangan sahaja untuk disimpan di tempat tinggi.
 
"Air naik terlalu cepat menyebabkan kami terpaksa meninggalkan rumah dengan segera. Pukul 5 pagi tadi saya pergi jenguk rumah, yang nampak hanya bumbung," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan banjir di Masjid Syakirin, di sini.

Beliau yang mempunyai tiga anak berumur antara sembilan hingga satu tahun menyifatkan kejadian itu paling buruk dialaminya sejak tinggal di situ 10 tahun yang lepas.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob petang ini turut turun padang melawat mangsa banjir di daerah ini yang mencecah sehingga 1,646 mangsa daripada 457 keluarga sehingga pukul 4 petang tadi.

Beliau bersama rombongan, terdahulu mendengar taklimat di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran sebelum melawat pusat pemindahan banjir di Masjid Kampung Luit yang menempatkan 600 mangsa banjir.

Dalam lawatannya itu Adnan menasihati semua mangsa banjir supaya menjaga kebersihan termasuk soal pemakanan dan pakaian terutama mereka yang mempunyai anak kecil.

banjir terburuk, Maran

Artikel Sebelum

Artikel Lain