suria

Malaysia Kutuk Serangan Terhadap Sekolah Di Peshawar

Keadaan sekolah di Peshawar yang diserang kumpulan pemisah Taliban pada Selasa lalu.
PUTRAJAYA: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan terhadap sebuah sekolah kelolaan tentera di Peshawar, Pakistan pada 16 Disember yang meragut 141 nyawa, termasuk 132 pelajar dan menyebabkan berpuluh pelajar serta guru cedera.

Kementerian Luar dalam kenyataan pada Jumaat berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengutuskan surat kepada rakan sejawatan beliau dari Pakistan Nawaz Sharif bagi menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada kerajaan dan rakyat Pakistan serta keluarga mereka yang menjadi mangsa dalam serangan ngeri itu.

Katanya pembunuhan dan serangan kejam terhadap kanak-kanak, walau atas alasan apa sekalipun, merupakan perbuatan yang tidak boleh diterima dan tidak berperikemanusiaan.

"Sebagai sebuah negara yang cintakan keamanan, Malaysia menentang sebarang bentuk serangan ganas di rantau ini.

"Kami sedia memberi sokongan kepada Pakistan dalam usahanya untuk membina keamanan kerana negara ini sentiasa menganjurkan agenda kesederhanaan dan pendekatan menggunakan orang tengah," kata kenyataan itu.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman juga menyampaikan ucapan takziah kepada Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Keselamatan Negara dan Hal Ehwal Luar Pakistan.

Peshawar, Najib Tun Razak

Artikel Lain