suria

Mahkamah Putuskan Jude Pereira Diterima Masuk Dalam Badan Peguam

IPOH: Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa bekas pegawai penyiasat dalam kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim harus dibenar untuk diterima masuk ke badan peguam selang tiga bulan mulai Rabu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Swee Seng membenarkan petisyen Judy Blacious a/l A.F. Pereira (lebih dikenali sebagai Jude Blacious Pereira) untuk diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya.

"Sepanjang tempoh dari sekarang hingga berakhirnya tempoh tiga bulan, pempetisyen perlu menghadiri beberapa seminar hak asasi manusia, forum, aktiviti atau program dianjurkan oleh Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam," kata beliau dalam penghakimannya di sini, Rabu.

Beliau berkata, jika tiada, mana-mana program yang berkaitan anjuran Majlis Peguam membolehkan pempetisyen mempunyai tempoh "conscientisation reflektif" berhubung dengan semangat hak asasi manusia terutama tahanan di bawah sistem keadilan jenayah.

Beliau berkata semua program tidak boleh dianggap sebagai hukuman tetapi satu kesungguhan yang akan menjadi satu bentuk pemulihan reflektif untuk peranan baharu.

"Tiada beban lebih besar daripada yang perlu harus dikenakan ke atas pempetisyen kecuali lapan jam menjalani latihan, ceramah atau menyertai program yang Majlis Peguam mungkin tetapkan bagi pempetisyen, katanya.

Majlis Peguam dapat memudahkan program latihan untuk pempetisyen supaya apabila tempoh tiga bulan berakhir, pempetisyen akan diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara, kata beliau.

Lee berkata, pempetisyen perlu dialu-alukan ke dalam profesion ini dan dengan latar belakang dan pengalamannya berkhidmat dalam bidang lain, beliau dapat memainkan peranan penting sebagai ahli profesion bagi menegakkan hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang.

"Saya tidak mengeluarkan apa-apa perintah tentang kos. 25 Mac 2015 pada jam 9 pagi harus diambil perhatian untuk pempetisyen diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah TinggiMalaya, " katanya.

Beliau berkata mahkamah mengambil kira hakikat bahawa laporan Suhakam diselitkan dengan beberapa sindiran atau mungkin terdedah kepada lebih daripada satu interpretasi.

Beliau juga memberi perhatian kepada hakikat bahawa Majlis Peguam tidak membuat apa-apa laporan polis selepas Laporan Suhakam dikeluarkan.

"Saya juga mempertimbangkan hakikat bahawa pada peringkat penerimaan yang singkat, tiada bantahan daripada Majlis Peguam atau Majlis Peguam negeri. Apabila tiba peringkat untuk memohon menduduki peperiksaan Etika Majlis Peguam, juga tiada bantahan dibangkitkan.

Lee berkata sesungguhnya daripada keterangan afidavit yang tidak dipertikaikan, Pereira berkhidmat dengan cemerlang di dalam negara dan di Sierra Leone dan juga dinaikkan pangkat kepada Penguasa Polis sebelum bersara selepas berkhidmat selama 37 tahun.

Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan Majlis Peguam bahawa pelanggaran hak asasi manusia bagi tahanan dan terutama daripada peguam sukarela adalah satu perkara yang serius.

"Namun seperti kebanyakan undang-undang yang agung dan perkasa bahawa tiada siapa boleh terlepas daripada jangkauan atau mengatasinya, undang-undang seperti yang saya tahu, adalah juga murah hati dan pengasih dan memberikan peluang kedua kepada kebanyakan orang untuk membuktikan diri mereka, 'katanya.

Pada 15 Januari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Zaleha Yusof membenarkan notis bantahan dan notis kaveat yang dikemukakan oleh Majlis Peguam terhadap kemasukan Pereira untuk mengamalkan profesion undang-undang.

Majlis Peguam membantah kemasukan Pereira, memetik hasil inkuiri oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam kes melibatkan penangkapan lima orang peguam semasa perhimpunan menyalakan lilin yang mendapati bahawa Pereira bukan seorang saksi yang boleh dipercayai.

Pada 3 September lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan oleh Pereira untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menghalang beliau diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara.

Mahkamah memutuskan bahawa hakim Mahkamah Tinggi membuat keputusan berdasarkan notis bantahan dan notis kaveat terhadap kemasukannya yang dikemukakan oleh Majlis Peguam dan bukan atas petisyennya.

Mahkamah juga mendapati bahawa Pereira belum menfailkan petisyen di bawah Seksyen 15 (1) Akta Profesion Guaman 1976 bagi penerimaan dan diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara dan oleh itu, Mahkamah Tinggi tidak bersidang untuk mendengar petisyennya.

Pereira menfailkan petisyen bagi penerimaan dan diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya di Ipoh.

Pereira diwakili oleh peguam Dominic Selvam sementara Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan Pavendeep Singh mewakili Majlis Peguam.

Artikel Sebelum

Hikmah Tersadai Di Jumum

Artikel Berikut

Artikel Lain