suria

Pemeriksaan KPDNKK Di Lebih Dua Juta Premis Perniagaan

Datuk Seri Hasan Malek
PUTRAJAYA: Lebih dua juta pemeriksaan berkaitan harga barang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di premis-premis seluruh negara tahun ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Hasan Malek berkata daripada 2,278,345 pemeriksaan itu, KPDNKK mendapati sebanyak 9,817 kes tidak mematuhi peraturan harga dan dikenakan tindakan melibatkan nilai sitaan RM208 juta.

"Ini adalah pencapaian terbaik bahagian penguatkuasaan KPDNKK setakat ini," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan kementerian itu di sini, Selasa.

Beliau berkata sepanjang tahun ini, pelbagai aktiviti dan operasi dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK dalam usaha untuk menguatkuasakan undang-undang demi melindungi kepentingan pengguna.

"Saya mahu usaha seperti ini dipergiatkan lagi tahun depan apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan dilaksanakan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap warga KPDNKK akan lebih proaktif dalam menghadapi pelbagai cabaran sepanjang 2015.

Menurutnya kejayaan yang dilakarkan kementerian dalam pelbagai perkara termasuk Ops Titik dan Ops Bongkar perlu dikongsi bersama masyarakat.

"Tetapi sebarang perkara yang tidak elok, janganlah dikongsi dengan orang luar. Janganlah memburukkan ketua dan tempat kita mencari rezeki. Sebaliknya, kita perlu duduk bersama untuk mengatasinya," kata beliau.

Hasan berkata beliau juga bersedia menerima sebarang teguran dan idea daripada warga kementerian demi kebaikan bersama.

KPDNKK, Datuk Seri Hasan Malek

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain