suria

Rang Undang-Undang Anti Keganasan Dijangka Dibentang Mac Depan

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Anti Keganasan dijangka dibentang di Dewan Rakyat pada Mac tahun depan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, bahagian undang-undang Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menyiapkan draf rang undang-undang itu sebelum dibincangkan secara lebih terperinci dengan Jabatan Peguam Negara.

"KDN akan mengemukakan perkara ini kepada jemaah menteri sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.

"Cadangan rang undang-undang ini mendapat maklum balas baik bukan sahaja daripada pengamal perundangan malah badan bukan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pesuruhjaya Polis/Ketua Polis/Komander dan Komandan 2/2014 di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras dekat sini, Isnin.

Berhubung Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasan 2013) pula, beliau berkata sehingga hari ini, 306 individu ditahan sejak akta tersebut dipinda.

"Daripada jumlah itu, beberapa pendakwaan telah dibuat dan penahanan telah dilakukan. Pindaan akta merupakan satu tindakan yang berkesan kerana ia bukan hanya sekadar membanteras jenayah tapi ia melakukan usaha pencegahan kepada aktiviti jenayah," katanya.

Ahmad Zahid berkata, POCA yang diketuai seorang hakim dan dibantu empat orang ahli itu kini telah diperluas ke Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis  menyambut baik cadangan Rang Undang-undang Anti Keganasan itu dan menyifatkannya sebagai 'extra tool' dalam menghadapi ancaman militan.

"Khususnya rakyat Malaysia yang berjuang di luar negara dan mungkin balik, boleh mengancam dan mengganggu-gugat keselamatan dalam negara kita," kata beliau ketika ditemui di sini.

anti keganasan, Dewan Rakyat, KDN, Mac

Artikel Lain