suria

Pelajar UM Terus Protes Tindakan Disiplin

KUALA LUMPUR: Kira-kira 50 pelajar Universiti Malaya (UM) telah bertindak memasang khemah di luar Jabatan Hal Ehwal Pelajar universiti bagi memprotes tindakan tatatertib yang diambil terhadap pelajar yang menganjurkan ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pelajar-pelajar tersebut, yang merupakan sebahagian daripada gerakan Occupy UM, telah berkhemah di luar pintu masuk UM sejak Rabu bagi memprotes apa yang mereka katakan sebagai satu serangan terhadap kebebasan akademik.

Awal pagi ini, Occupy UM mengadakan perarakan aman untuk bergerak menuju ke Jabatan Hal Ehwal Pelajar yang terletak bersebelahan dengan kompleks Perdanasiswa.

Berikutan gesaan pelajar untuk membatalkan tindakan tatatertib yang diambil terhadap tujuh daripada rakan-rakan mereka, dua orang wakil daripada Jabatan Hal Ehwal pelajar bertemu dengan pelajar dan meminta supaya mereka 'bertimbang rasa'  dalam melakukan bantahan.

"Kami tidak menghalang anda (dari membantah), tetapi jangan menghalang pintu masuk. Hanya pindahkan khemah anda ke bahagian tepi," kata seorang kakitangan universiti.

Pelajar-pelajar itu juga diminta untuk bertemu dengan Timbalan Naib Canselor (Alumni dan Hal Ehwal Pelajar) Prof Datuk Dr Rohana Yusof, tetapi diberitahu bahawa beliau tidak berada di kampus.

Sehingga pukul 12 tengahari, pelajar masih berada di kawasan Occupy UM, mengatakan bahawa mereka tidak akan meninggalkan tempat itu sehingga tuntutan mereka dipenuhi.

Pelajar ini juga mengatakan bahawa mereka mengambil giliran untuk turut serta dalam perkemahan itu, kerana mereka masih perlu menghadiri kelas.

Lapan pelajar pada mulanya ditahan oleh universiti kerana menganjurkan ceramah oleh Ketua Pembangkang, Anwar pada bulan Oktober.

Mereka adalah Abraham Au, Syamimi Munira, Khairul Anwar, Haw Yu Hong, Adam Fistival, Khairol Najib, Safwan Shamsuddin dan Fahmi Zainol.

Walaupun Abraham kemudiannya dibebaskan daripada semua pertuduhan, mereka yang lain berdepan tindakan disiplin, sama ada denda atau penggantungan.

Artikel Lain