suria

Dua Lelaki Malaysia Ditahan Cuba Seludup 960gm Heroin

- Gambar hiasan
SINGAPURA: Dua rakyat Malaysia ditahan kerana cuba menyeludup dua bungkusan heroin seberat 950gm dengan menaiki sebuah motosikal dengan nombor pendaftaran Malaysia di Pusat Pemeriksaan Woodlands, Khamis.

Dalam operasi oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura, pegawai CNB menemui dadah tersebut disorok di ruang khas tempat duduk pembonceng ketika melakukan pemeriksaan ke atas dua lelak itu.

Penunggang berusia 26 tahun dan pembonceng berusia 37 tahun itu dikatakan sedang perjalanan ke republik itu.

CNB dalam kenyataan pada Jumaat berkata bekalan dadah yang dirampas itu boleh menampung keperluan 480 penagih selama seminggu.

Tangkapan dua rakyat Malaysia di pusat pemeriksaan berkenaan adalah sebahagian daripada operasi oleh CNB di seluruh negara itu yang dilakukan dari Isnin hingga Jumaat.

Dalam operasi tersebut, sebanyak 101 suspek lain turut ditahan dan pelbagai jenis dadah bernilai S$85,000 dirampas termasuk satu kilogram heroin, 18gm ice, sembilan pil Erimin-5, 25 pil ecstasy, 290gm ganja dan sejumlah kecil dadah jenis ketamine.

Operasi CNB itu turut disertai oleh Pihak berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA), polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain