suria

RM780,000 Untuk Bebaskan Mangsa Culik

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah SAC Salehudin Abdul Rahman (kiri) bersama Sai Chuin dan isterinya Pek Nyen. Turut bersama mereka Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Zabidi Zain (kanan).
KOTA KINABALU: Kira-kira 10 juta peso (RM780,000) dipercayai telah diserahkan kepada kumpulan Abu Sayyaf untuk membebaskan penternak ikan di Kunak, Chan Sai Chuin, Selasa.

Sumber Filipina di pulau Jolo, di mana Sai Chuin telah ditahan selama 177 hari berkata perunding menyerahkan wang kepada kumpulan sub Abu Sayyaf, yang dikawal oleh Sawadjan bersaudara dan diketuai oleh Al-Habsi Misaya.


Mereka berkata wang tebusan sebanyak 30 juta peso (RM2.34juta) yang dituntut pada mulanya telah dikurangkan.

"Anda juga perlu mengambil kira perbelanjaan operasi dan wang untuk dibayar kepada utusan, pegawai-pegawai tempatan dan pemimpin puak yang berlainan bagi mendapatkan laluan selamat," kata seorang sumber yang tidak mahu dikenali.

Difahamkan kira-kira 10 juta peso atau lebih telah sampai ke tangan kumpulan terbabit untuk Sai Chuin dilepaskan.

Dipercayai kumpulan Sawadjan telah menahannya di pulau Jolo.

Sai Chuin telah diculik dari sebuah sangkar ikan di Kunak pada 16 Jun.

Dia pada mulanya dijangka akan dibebaskan bersama-sama dengan seorang lagi tebusan Malaysia, Konstabel Zakiah Aleip, 26, yang telah diculik dari pulau Mabul pada 12 Julai.

Bagaimanapun, sumber itu berkata rundingan untuk melepaskan Zakiah ini terhalang disebabkan tiada kesepakatan berhubung jumlah wang yang diserahkan.

Menurut sumber itu, rundingan untuk Zakiah telah disambung semula dan 'persoalannya adalah wang'.

Artikel Lain