suria

Lelaki Ditemui Rentung Dalam Bonet Kereta Selepas Bergaduh

PETALING JAYA: Seorang lelaki ditemui rentung dalam sebuah kereta yang dibakar disyaki perbuatan sekumpulan lelaki selepas berlaku pertengkaran di tapak letak kenderaan berhampiran Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur, Ampang Jaya, malam Isnin.

Mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an itu dipercayai dibunuh dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 10 malam itu.

Berdasarkan keterangan orang ramai, berlaku pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki yang menaiki dua kenderaan jenis Proton Waja dan Pajero.

Beberapa minit kemudian, kelihatan api arak pada kereta Proton Waja berkenaan.

Berikutan itu, orang awam menghubungi pihak bomba untuk membantu memadamkan kebakaran berkenaan tanpa mengetahui adanya mangsa dalam kejadian itu.

Mayat mangsa ditemui rentung di bahagian bonet kereta berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, polis percaya suspek terdiri daripada lima lelaki yang melarikan diri menggunakan kenderaan Pajero itu.

"Setakat ini, identiti mangsa belum dikenal pasti dan motif pembunuhan masih disiasat," katanya.

Mayat mangsa kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk dibedah siasat.

"Polis mengadakan sekatan jalan raya di beberapa jalan bagi memburu kumpulan suspek," katanya.




Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Rumpai Beracun Hidup Subur

Artikel Lain