suria

Subramaniam Tidak Tolak Pembentukan Panel Kendali Pemilihan Semula MIC

Dr S. Subramaniam.
PUTRAJAYA: Timbalan presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam tidak menolak pandangan agar ditubuh panel bebas untuk mengendali proses pemilihan semula dalam parti. 

Diminta mengulas desakan dua calon yang kalah pada pemilihan MIC tahun lepas bagi pembentukan panel tersebut, beliau berkata, "Saya percaya ia perlu dikendali oleh sebuah panel sebebas mungkin".
 
"Saya yakin jika ia (panel) dicalonkan, ia seharusnya diterima oleh semua kumpulan orang," kata Subramaniam tanpa mengulas lanjut. 

Dua calon itu ialah Datuk Jaspal Singh dan Datuk S.A. Vigneswaran. 

Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Malaysia International Healthcare Innovation di sini, Isnin.  

Jumaat lepas, Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengarahkan MIC mengadakan pemilihan baharu bagi tiga jawatan naib presiden dan jawatankuasa kerja pusat serta bagi lapan bahagian iaitu Bayan Baru, Bukit Gelugor, Subang, Bandar Baru Kulim, Taiping, Tambun, Sepang dan Jasin. 

Berikutan itu, MIC menangguhkan mesyuarat agung tahunannya dijadualkan bulan ini bagi membolehkan pemilihan semula itu diadakan.

Artikel Lain