suria

Taufan Hagupit Bawa Angin Kencang Di Perairan Sabah

KUALA LUMPUR: Taufan Hagupit, yang membawa angin kencang timur laut, dikesan kira-kira 1,018 kilometer ke timur laut Kudat, Sabah, dengan pergerakan ke arah barat dengan kelajuan 10 km/j pada pukul 8 pagi Ahad.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata taufan itu dikesan pada latitud 11.9 utara dan longitud 124.6 timur.

Taufan itu membawa angin kencang timur laut dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter di kawasan perairan Sabah, Labuan, Miri Sarawak, dan di Condore, Reef North serta Layang-layang yang dijangka berterusan sehingga Jumaat ini.

Selain itu, angin kencang timur laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ketinggian ombak 3.5 meter diramal belaku mulai esok hingga Jumaat ini di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Sarawak.

Keadaan sama turut diramal berlaku di kawasan perairan Sulu dan Sulawesi dan dijangka berterusan hingga Rabu ini serta di kawasan perairan Reef South, Samui dan Tioman sehingga Jumaat ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai, termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri, menurut kenyataan itu.

Taufan Haguit, Sabah

Artikel Berikut

Artikel Lain