suria

Perhimpunan Agung MIC 2014 Bincang Akta Hasutan, Masalah Masyarakat India

A. Prakash Rao
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung MIC Ke-68, yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini bermula 13 Disember ini, diharap dapat menjadi platform bagi anggota perwakilan mengetengahkan masalah masyarakat India.

Setausaha Agung MIC A. Prakash Rao berkata anggota perwakilan juga perlu menggunakan perhimpunan dua hari itu untuk membawa isu-isu berkaitan kebajikan, ekonomi, pendidikan dan memperkasakan masyarakat India dan bukannya isu remeh-temeh. 

"Kita maklum bahawa isu Akta Hasutan 1948 mungkin dibincangkan. Kita tidak akan menghalang perwakilan mengemukakan isu yang mereka mahu.

"Kita bersedia mendengar apa sahaja rintihan atau cadangan daripada perwakilan, namun ia hendaklah dilakukan dengan betul dan mengikut undang-undang," katanya pada persidangan berita di sini, Jumaat.

Menurutnya kira-kira 2,000 orang akan menghadiri perhimpunan itu termasuk 1,500 anggota perwakilan selain jemputan kepada pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) serta pemerhati tempatan dan asing pada hari pertama perhimpunan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan Perhimpunan Agung MIC itu pada 13 Disember.

Persidangan sayap Pemuda, Wanita, Puteri dan Pemuda MIC pula diadakan di PWTC pada Ahad ini.

Pada sidang media sama, Bendahari Agung parti Datuk S.Murugesan berkata MIC sedang mengkaji pindaan terhadap perlembagaan parti bagi membolehkan lebih ramai anggota mengundi bagi menentukan kepimpinan parti. 

Pindaan itu, yang telah dimaklumkan kepada Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel dan timbalannya Datuk Seri Dr S.Subramaniam, tidak akan dibincangkan pada perhimpunan kali ini kerana mahu mendapatkan pandangan akar umbi parti terlebih dahulu.

Murugesan yang juga pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan parti menambah semua pandangan akan dibawa kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) untuk dibincangkan sebelum dibentangkan kepada perwakilan parti pada perhimpunan akan datang

Artikel Berikut

Artikel Lain