suria

Pelajar Maut, Motosikal Tersepit Pada Tayar Treler

MELAKA: Seorang pelajar Tingkatan Dua maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang mereka tunggangi terbabit dalam kemalangan membabitkan sebuah treler di Jalan Bukit Rambai di sini, Khamis.

Mangsa Mohamad Akmal Mohamad Borham, 14, yang mengalami pendarahan di bahagian kepala meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Bukit Rambai manakala pembonceng Muhammad Hafiz Ros, 14, yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata dalam kejadian 12.15 tengah hari itu, motosikal yang ditunggangi Mohamad Akmal dari arah Ayer Salak ke Tanjung Minyak di sini berlanggar dengan bahagian belakang tayar sebuah treler yang datang dari arah sama.

Beliau berkata, motosikal mangsa tersepit pada tayar treler berkenaan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini, Khamis.

Beliau berkata kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalanraya (APJ) 1987.

Artikel Lain