suria

Kajian Indeks Kesejahteraan Keluarga Dilaksana Tahun Depan - Rohani

Rohani Abdul Karim.

PUTRAJAYA: Kajian Indeks Kesejahteraan Keluarga akan dilaksanakan tahun depan bagi mengemas kini data-data kajian berkaitan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah menghasilkan Indeks Kesejahteraan Keluarga pada 2011 dan kajian pada tahun berkenaan membolehkan Malaysia mendapat 7.55 daripada 10 mata penuh.      

"Ini jelas menunjukkan institusi keluarga di Malaysia mempunyai kesejahteraan yang baik. Namun, lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan lagi indeks itu," katanya.

Rohani berkongsi pengalaman Malaysia ketika menghadiri Forum Keenam Menteri-menteri Asia Timur mengenai Keluarga di Seoul, Korea Selatan, yang berlangsung pada 3 hingga 5 Disember.

Forum itu, yang bertema 'Mewujudkan Persekitaran Sosial Mesra Keluarga', menfokuskan kepada perkongsian dasar dan hasil kajian berkenaan pemerkasaan institusi kekeluargaan di Asia Timur.

Ia juga menyediakan platform untuk membincangkan nilai-nilai kekeluargaan daripada pelbagai perspektif. 

Rohani memberitahu forum itu bahawa Malaysia sentiasa komited kepada agenda kekeluargaan sebagai intipati penting dalam pelan pembangunan bagi menyeimbangkan pembangunan negara dan kebahagiaan rakyat.

Kenyataan Rohani dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini, Khamis.

Artikel Lain