suria

Yayasan Pendidikan Indus Dapat Geran RM5 Juta

Najib Tun Razak.
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan geran permulaan RM5 juta kepada Yayasan Pendidikan Indus (IEF), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang melancarkan yayasan itu pada Ahad.

Sambil menyifatkan ia sebagai alat penting dan tepat pada masanya, beliau berkata IEF akan menyokong pelajar kaum India yang layak untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi.

Ini, katanya, adalah satu lagi contoh janji kepada rakyat yang ditunaikan.

"Kami berjanji untuk menubuhkan tabung biasiswa untuk membantu pelajar India melanjutkan pengajian peringkat tinggi dan hari ini kita telah dapat menunaikan janji itu melalui perkongsian awam swasta," katanya ketika melancarkan yayasan itu di Sentul di sini.

Turut hadir Pengerusi IEF Tan Sri G. Gnanalingam.

Najib berharap IEF akan memainkan peranannya dengan baik untuk membantu pelajar India rakyat Malaysia yang berbakat dan layak daripada kalangan keluarga berpendapatan sederhana dan rendah.

Perdana Menteri berkata golongan muda hari ini perlu mengambil masa untuk memahami dan berfikir secara mendalam dalam membuat keputusan mengenai semua pilihan pendidikan yang ada pada mereka, selepas tamat sekolah.

Beliau berkata jawatankuasa khas kabinet mengenai hal ehwal kaum India yang dipengerusikan beliau telah menyelaras usaha untuk memenuhi janji yang dibuat dengan memberi tumpuan dalam bidang sosial, pendidikan, pekerjaan, peluang ekonomi dan cabaran yang dihadapi masyarakat India.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain