suria

Trak Imigresen Terbalik, Lima Pati Cedera

REMBAU: Lima daripada 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) cedera apabila trak 'Black Maria' Jabatan Imigresen terbabit dalam kemalangan di KM 232.9, Lebuh Raya Utara-Selatan, berhampiran susur keluar Pedas-Linggi arah utara dekat sini, Rabu.

Jurucakap polis berkata kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari ketika trak tersebut yang membawa 35 PATI termasuk 10 wanita sedang dalam perjalanan dari Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo, Melaka ke Depot Tahanan Imigresen KLIA, dipercayai untuk tujuan pengusiran.

Katanya kemalangan itu berlaku apabila trak itu dipercayai cuba mengelak sebuah kereta yang hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan sebelum berpusing beberapa kali.

Katanya trak itu cuba mengelak tetapi tidak berjaya dan melanggar kereta tersebut, disusuli dengan sebuah van Jabatan Imigresen melanggar belakang trak itu, mengakibatkan van remuk di bahagian hadapan manakala trak itu terbalik di tengah lebuh raya.

Kemalangan itu mengakibatkan lima orang PATI cedera dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Rembau DSP Ibrahim Sharif ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Imigresen, Pati

Artikel Lain