suria

Orang Bukan Islam Bebas Ambil Alkohol, Termasuk Di Kelantan - Husam

Datuk Husam Musa
PETALING JAYA: Orang bukan Islam berhak untuk mengambil alkohol dan mereka akan dibenarkan untuk berbuat demikian walaupun PAS memerintah Kelantan, kata Naib Presiden parti, Datuk Husam Musa dalam satu forum, malam Isnin.

"Alkohol adalah hak dan aset orang bukan Islam. Kita tidak boleh mengambil aset orang bukan Islam secara paksaan tanpa persetujuan mereka," katanya.

Husam menjelaskan bahawa di Kelantan, lesen diberikan oleh kerajaan negeri kepada bukan Islam untuk menjual alkohol tetapi hasil daripadanya disalurkan secara berasingan daripada cukai lain supaya umat Islam tidak mendapat keuntungan daripada penjualan arak.

Beliau bercakap mengenai isu memorandum yang dihantar kepada syarikat penerbangan nasional MAS oleh kumpulan tertentu dalam parti Islam itu, termasuk Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, yang berusaha untuk mengharamkan hidangan arak dalam penerbangan.

"Adakah penumpang bukan Islam tidak diberi hak yang sama dengan rakyat Kelantan?" tanya Husam, yang menegaskan adalah lebih mudah menguruskan agar pramugari Muslim tidak menghidangkan alkohol.

Ahli panel lain di forum ini adalah Sasterawan Negara A. Samad Said, Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang dan pakar undang-undang Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari.

Artikel Lain