suria

BR1M Subsidi Fokus Kepada Golongan Sasar - Najib

Najib Razak

KUALA LUMPUR: Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah satu bentuk subsidi yang lebih fokus dan terarah untuk golongan sasar berbanding pemberian subsidi pukal seperti subsidi bahan api.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam satu wawancara khas dengan akhbar Mingguan Malaysia yang disiarkan pada Ahad berkata, pemberian bantuan itu membantu kerajaan dalam mengagihkan bantuan kepada golongan miskin dan kurang berkemampuan.

"Tetapi subsidi sebenarnya banyak membazir dan kita tahu apabila dilakukan BR1M, ini lebih fokus pada golongan sasar. Maknanya subsidi masih ada juga dan minyak itu adalah subsidi.

"BR1M juga adalah subsidi tetapi lebih fokus dan terarah berbanding subsidi pukal. Itu yang saya nak kurangkan untuk elakkan pembaziran," katanya menjawab soalan pengarang akhbar itu mengenai kritikan tokoh seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin mengenai pemberian BR1M.

BR1M ialah polisi yang disasarkan untuk membantu keluarga berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan dengan memberikan wang tunai RM500 dan ia diagihkan kepada 4.2 juta isi rumah pada awal tahun 2012.

Akhbar itu memetik Najib, yang juga Presiden Umno sebagai berkata, kerajaan bersikap terbuka dan sedia mengkaji semula pemberian BR1M jika bantuan itu didapati tidak bagus.

"Saya bersikap terbuka dalam soal ini, tetapi ke mana saya pergi pun, orang ramai kata mereka mahukan BR1M malah mereka mahu ditambah lagi jumlahnya.

"Itu reaksi orang dan BR1M ini dibuat bukan kerana mahu beli undi tetapi kerana kita naikkan harga minyak," katanya.

Menurut laporan akhbar itu, Najib yang juga Menteri Kewangan menegaskan apabila kerajaan mengurangkan subsidi minyak dan harga minyak naik, BR1M menjadi instrumen untuk kurangkan beban rakyat, menjadikan hasil yang diterima kerajaan melalui pengurangan subsidi itu diagihkan kembali kepada rakyat.

Akhbar itu juga melaporkan BR1M bukanlah bukanlah satu dasar yang berterusan dengan memetik Najib sebagai berkata: "Satu hari nanti, bila pendapatan rakyat bertambah, mereka sudah tidak perlukan BR1M lagi."

Artikel Lain