Mubarak Ulangi Pendirian Mahu Akta Hasutan Kekal - Semasa | mStar

Mubarak Ulangi Pendirian Mahu Akta Hasutan Kekal

KUALA LUMPUR: Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) mengulangi pendirian mahu Akta Hasutan 1948 dikekalkan memandangkan penyebaran maklumat mudah dilakukan pada masa kini menerusi media sosial.

Presidennya Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata akta yang tegas seperti Akta Hasutan diperlukan bagi mengekang penyebaran maklumat yang boleh menggugat keharmonian kaum, khususnya di sebuah negara majmuk seperti Malaysia. 

"Akta Hasutan diperlukan hari ini dan juga pada masa depan, kerana kita tidak mahu ada golongan yang mencerca agama, sultan atau memutar belitkan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan," katanya. 

Abdul Aziz berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis penyerahan buku bertajuk '100 Wira Negara' hasil nukilannya di Maktab Tentera Diraja (MTD) di Kem Sungai Besi pada Jumaat. 

Turut hadir Ketua Penerangan Mubarak yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Abdul Rahman Sulaiman dan Komandan MTD Kolonel Wan Ghazali Wan Din.

Berhubung buku 100 Wira Negara, Abdul Aziz berkata, Mubarak dalam perancangan untuk menerbitkan rancangan animasi berbentuk dokumentari wira-wira yang terkandung dalam buku itu selepas kejayaan menerbitkan dokumentari untuk siaran televisyen sebanyak 13 episod tahun ini. 

Rancangan animasi penting untuk menarik minat kanak-kanak supaya mereka tidak lupa akan kewujudan tokoh-tokoh yang berjasa kepada negara dari zaman sebelum kemerdekaan, katanya. 

"Pemahaman menerusi watak animasi juga lebih mudah dan lebih menarik untuk ditonton kanak-kanak," katanya dan menambah pihaknya sedang meneliti syarikat yang boleh merealisasikan rancangan itu untuk diterbitkan tahun hadapan.  

Buku 100 Wira Negara merupakan pengiktirafan kepada ikon dalam pelbagai bidang yang memberi impak kepada negara, termasuk lima bekas Perdana Menteri Malaysia iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri sekarang Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut ditonjolkan dalam buku itu ialah tokoh pendidikan Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, Tan Sri Arshad Ayub, Dr Aminuddin Baki; tokoh ekonomi Tan Sri Ananda Krishnan, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary; tokoh sukan Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Nicol Ann David, Tan Sri Dr M. Jegathesan serta seniman agung negara Tan Sri P. Ramlee dan Datuk Sudirman Arshad. 

Buku setebal 300 halaman itu diterbitkan dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan sehingga kini sebanyak 15,000 naskhah buku itu diedarkan ke sekolah dan kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) seluruh negara. 

Orang awam yang berminat boleh membelinya pada harga RM50 senaskhah melalui laman web  www.mubarakmalaysia.gov.my.  

mubarak , akta hasutan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Klik

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

Artikel Lain