suria

Mahkamah Benar Lanjut Tempoh Pemeriksaan Mental Lan Keow

Lan Keow diiringi polis selepas didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Aisyamudin Yaacob.

GEORGE TOWN: Mahkamah Majistret pada Isnin membenarkan seorang wanita yang didakwa mencederakan pemandu bas Rapid Penang bulan lepas, melanjutkan tempoh pemeriksaan status mentalnya di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan di Perak.

Majistret L. Uma Dewi membuat keputusan itu selepas menerima laporan daripada sebuah Hospital di Perak bahawa tempoh pemeriksaan tertuduh Chong Lan Keow, 49, akan dilanjutkan selama sebulan lagi.

Beliau yang menetapkan 10 Disember sebagai tarikh sebutan semula, berkata lanjutan tempoh pemeriksaan status mental itu dibenarkan selaras mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 10 Oktober lepas, Uma Devi memerintahkan penghantar sayur itu dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan untuk menjalani pemeriksaan mental selama sebulan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Aisyamudin Yaacob, 27, dengan menggunakan sebilah pisau di dalam bas Rapid Penang di Jalan Paya Terubung Relau, Sungai Nibong pada 6.50 pagi, 6 Oktober lepas.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkifli manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman, Goh Chee Sun. 

Artikel Lain