suria

Akibat Tak Langsai Hutang RM500, Tukang Masak Dibelasah Hingga Mati

KUALA LUMPUR: Akibat tidak melangsai hutang sebanyak RM500, seorang tukang masak warga India dibelasah sehingga mati oleh rakan senegara di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan di sini, tengah hari Sabtu.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, dalam kejadian pukul 1.47 tengah hari itu, polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam.

Beliau berkata, polis menemui mayat Hukumdev Sah Raghunath Sah, 39, yang berada dalam keadaan terbaring di dalam tandas restoran yang berkunci dari luar.

 
"Tiada sebarang kesan tikaman pada tubuh mangsa. Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki warga India berusia lingkungan 20 tahun, yang berada di sebuah kedai berdekatan dengan lokasi kejadian.
 

"Hasil siasatan awal mendapati, mangsa berhutang RM500 dengan suspek dan enggan membayar balik menyebabkan berlaku pertengkaran sesama mereka," katanya di sini, Sabtu. 


Katanya, suspek telah menumbuk muka dan  dada mangsa beberapa kali sehingga menyebabkan mangsa pengsan sebelum menarik mangsa ke dalam tandas dan mengunci pintu tandas itu. 

Beliau berkata, mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Akta Kanun Keseksaan kerana membunuh. 

hutang, tukang masak, mati

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain