suria

Malaysia Upah Lebih 57,700 Pekerja Nepal Dalam Masa Tiga Bulan Lepas

KATHMANDU: Permintaan bagi pekerja Nepal di Malaysia dan beberapa negara Teluk meningkat lebih daripada 33 peratus dalam tempoh tiga bulan lepas.


Laporan suku tahunan daripada Jabatan Pekerjaan Asing Nepal menunjukkan 129,410 rakyat Nepal yang mencari kerja berlepas ke luar negara sejak pertengahan Julai hingga pertengahan Oktober.

"Jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 33 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas," kata laporan itu.

Sebanyak 97,180 rakyat Nepal meninggalkan negara ini untuk bekerja di luar negara pada suku pertama tahun fiskal yang lepas.

Malaysia, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah destinasi utama bagi pekerja Nepal, kata laporan itu.

"Walaupun musim perayaan, jumlah pekerja ke luar negara meningkat terutamanya atas permintaan di negara-negara yang menjadi hos," katanya.

Malaysia menerima 57,796 pekerja Nepal dalam tempoh tiga bulan lepas, meningkat daripada 23,127 dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam tempoh yang sama, sebanyak 27,934 rakyat Nepal diambil bekerja oleh Qatar, 21,862 orang oleh UAE dan 13,716 oleh Arab Saudi.

Malaysia akhir-akhir ini telah muncul sebagai destinasi pilihan bagi pekerja Nepal,menurut laporan tersebut.

Lebih 500,000 warga Nepal kini bekerja di Malaysia.


Artikel Berikut

Utara Sarawak Bergelap

Artikel Lain