suria

Kes Liwat II: Pendakwaan Hujah Fakta Baharu

PUTRAJAYA: Masuk hari keenam pendengaran rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim, pasukan pendakwaan akan menyambung semula penghujahan berhubung kes liwat ketua pembangkang itu.

 

Ketua pasukan pendakwaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dijangka membentangkan isu baharu pada prosiding yang bersambung pukul 9 pagi, Selasa.

"Kes-kes yang baharu, hujahan yang baharu...semua akan keluar (hari ini)," katanya.

Sehingga Isnin, Muhammad Shafee selesai membentangkan kira-kira 65 peratus daripada keseluruhan hujahnya.

Beliau dijangka menghabiskan hujahannya sehingga tengah hari ini sebelum memberi ruang kepada pasukan pembelaan menyampaikan hujah balas.

Anwar diwakili peguam utama, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang juga merupakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan.

Prosiding berlangsung dihadapan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar, 67, selepas didapati bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Tuduhan itu, mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Artikel Berikut

Artikel Lain