suria

Pastikan Program Sentuh Anjing Tidak Berulang

ALOR SETAR: Pihak berkuasa perlu memastikan program 'I Want To Touch A Dog' yang berlangsung di Central Park, One Utama dekat Petaling Jaya, Ahad lepas, tidak berulang kerana ia secara terang-terangan menghina agama Islam.

Pengarah Persatuan Jemaah Pondok-pondok Kedah, Ustaz Sobri Osman, berkata program itu tidak sepatutnya dianjurkan dan umat Islam yang mengikutinya jelas menunjukkan betapa ceteknya ilmu mereka.

"Kita sedia maklum bahawa Mazhab Syafie sudah menjelaskan bahawa anjing itu tergolong dalam kategori berat (najis mughallazah) jadi mengapa perlu mengajak umat Islam memegang benda yang haram sedangkan banyak lagi benda halal yang boleh dipegang," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Malah, Sobri mencadangkan agar kempen seperti 'Jangan Dekati Anjing' diadakan, jika tujuannya untuk mengajar cara menyamak dengan betul.

"Melalui kempen sedemikian, para ilmuwan dan ulama boleh memberi penjelasan mengenai hukum halal dan haram," katanya menambah Pejabat Agama negeri perlu membanteras penganjuran program seperti itu daripada berlangsung, pada masa depan.

Program berkenaan mendapat kritikan pelbagai pihak apabila umat Islam dibenar bermesra dan bermain dengan anjing yang dibawa peserta bukan Islam.





 

Artikel Lain