suria

Jemaah Haji Bebas Jangkitan Mers-CoV Dan Ebola - Abdul Azeez

Abdul Azeez Rahim.
SEPANG: Lembaga Tabung Haji (TH)  memaklumkan bahawa tiada sebarang jangkitan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS-CoV) dan Ebola dikesan dalam kalangan jemaah Malaysia yang menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Pengerusinya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata perkara tersebut turut disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Arab Saudi yang menjalankan pemeriksaan ke atas jemaah haji di sana.
 
"Alhamdulillah, buat masa ini tiada seorang pun dalam kalangan jemaah haji dari negara kita yang menghidap penyakit melalui virus MERS-CoV dan Ebola," katanya kepada media selepas menziarahi keluarga Allahyarham Salleh Mohammad Ja'afar di Kampung Abdul Rahman, Sungai Pelek, Sepang di sini hari ini.

Namun, jelas beliau prosedur pemeriksaan kesihatan akan terus dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan di pintu masuk negara bagi mengesan jika ada jemaah yang menunjukkan tanda-tanda demam dan sebagainya.

Allahyarham Salleh, 72, meninggal dunia di tanah suci pada 16 Oktober lepas akibat jangkitan kuman dalam darah serta paru-paru dan jenazahnya diuruskan pihak TH di Makkah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara'ek, Makkah.

 
Setakat ini 21 jemaah haji dari Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci pada musim haji tahun ini, terendah berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Abdul Azeez menasihati para jemaah agar terus menjaga kesihatan mereka ketika berada di Tanah Suci dan mengambil ubat mengikut jadual yang ditetapkan sekalipun ibadah haji mereka telah selesai.

Sehingga semalam, 14 penerbangan yang membawa 5,398 jemaah telah tiba di tanah air daripada 22,320 jemaah Malaysia (64 penerbangan keseluruhan).

Tabung Haji, Azeez Rahim, Mers-CoV

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain