suria

Kanak-Kanak Mati Lemas Ketika Mandi Di Pantai

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak perempuan mati lemas manakala seorang remaja lelaki masih hilang ketika mandi di pantai Tanjung Balau dekat Kota Tinggi pada Jumaat.

Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 5 petang dengan mangsa yang lemas adalah Hidayah Budin, 2, manakala remaja yang hilang terbabit hanya dikenali sebagai Shukri, 14.

Hidayah dan Shukri yang masing-masing merupakan jiran dikatakan mandi di pantai tersebut bersama ibunya Siti Marsila Md Jasin, 28, tiga adik beradiknya Nuraliza, 12, Amy, 11, dan Ahmad, 9, serta seorang lelaki Mohd Faizal Yunus, 29.

Kesemua mereka dari Taman Johor Jaya di sini.

Ketua Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Azlan Mohd Sobri berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada pengawal pantai Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) pada pukul 5.55 petang.

"Operasi masih dijalankan bersama pihak penyelamat pantai Kejora. Ekoran keadaan pantai yang gelap, anggota akan membuat pemantauan dan menyusur di sekitar pantai untuk operasi malam," katanya.

mati lemas

Artikel Berikut