suria

Kerajaan Tolak Isil

KUALA LUMPUR: Kerajaan menolak serta mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan oleh Islamic State of Iraq and the Levant (ISIL) yang memaksa dan menyerang pihak lain untuk membentuk wilayah mereka.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin berkata sebagai sebuah negara yang sentiasa mahukan keamanan sejagat, Malaysia tidak sekali-sekali mengiktiraf pembentukan kumpulan tersebut mahupun mana-mana pihak yang berkaitan dengan keganasan.

"Tindakan kumpulan tersebut tidak mencerminkan ajaran Islam dan Malaysia tidak mengiktiraf pembentukan ISIL sebagaimana diisytiharkan pada 29 Jun lalu," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Hadi Awang (PAS-Marang) yang mahu kerajaan menyatakan pendirian rasmi terhadap pembentukan wilayah pemerintahan baharu di bawah kawalan ISIL di Iraq.

Hamzah berkata selaras dengan itu juga kerajaan mengambil pendirian menyokong penuh resolusi 2170 Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) yang menentang sebarang bentuk sokongan kepada kumpulan berkenaan.

Katanya, ini diperkukuhkan lagi dengan menyokong resolusi 2178 iaitu memperkukuhkan usaha mengemblengkan badan antarabangsa untuk memerangi keganasan secara amnya dan memerangi para penganas antarabangsa khususnya.

Bagaimanapun Hamzah berkata, kerajaan yakin dan percaya isu keganasan oleh kumpulan tersebut perlu ditangani secara komprehensif dan tidak semestinya dengan tindakan kententeraan semata-mata.

"Mekanisme penyelesaian boleh diambil oleh badan bertindak antarabangsa , melalui kerangka yang diambil oleh PBB dalam menangani isu keganasan, dalam hal ini kerajan berpandangan bahawa tindakan kententeraan ke atas pengganas IS (Islamic State) sebolehnya tidak mengkibatkan orang awam terkorban," katanya.

Zainuddin berkata pendirian Malaysia juga telah disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung PBB, 27 Sept lepas dengan kerajaan mengecam tindakan kekejaman IS dan menolak perjuangan kumpulan tersebut.

"Perdana Menteri juga menegaskan pendekatan kesederhanaan penting dan sesuai untuk menangani tindakan ekstremisme ketika ini," katanya.


Isil

Artikel Lain