suria

Keganasan Rumahtangga: Kes Meningkat 1,259 Pada 2013

Gambar hiasan. THE STAR

KUALA LUMPUR: Kes keganasan rumahtangga mencatatkan peningkatan sebanyak 1,259 kepada 4,123 tahun lalu dengan Johor, Selangor dan Negeri Sembilan merekodkan kes paling tinggi.


Sebanyak 13 negeri menunjukkan kes berkenaan meningkat dengan Johor mencatatkan kes tertinggi pada 2013, iaitu lebih sekali ganda kepada 583 kes berbanding 264 kes pada 2012.

Selain itu, Selangor dan Negeri Sembilan masing-masing dengan 512 dan 502 kes berbanding tahun sebelumnya 368 dan 270 kes dicatatkan.

Bagaimanapun, hanya Pahang mencatatkan penurunan kes iaitu 183 pada 2012 kepada 165 kes, tahun lalu.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Sisatan Jenayah (JSJ) Asisten Komisioner Hamidah Yunus, kegagalan mengawal emosi adalah antara punca utama berlakunya keganasan dalam rumahtangga.

"Antara punca utama ialah curang, selisih faham, masalah kewangan, anak, cemburu, mabuk, dadah, ugutan melalui telefon dan masalah peribadi," katanya kepada mStar Online.

Asisten Komisioner Hamidah Yunus

Hamidah menjelaskan, terdapat lima jenis kes keganasan rumahtangga iaitu dari segi fizikal, psikologi, seksual, sosial dan kewangan.

Beliau turut memberikan contoh kes keganasan rumahtangga yang mendapat perhatian adalah kes melibatkan penyanyi rock, Awie (Wwings) yang memukul isterinya Rozana Misbun sehingga mendatangkan kecederaan.

Kata Hamidah lagi, kebanyakan kaum wanita yang menjadi mangsa kes keganasan rumahtangga ini seakan malu dan biasanya akan berdiam diri tanpa melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

"Memang ada wanita yang takut dicemuh atau tidak tahu bagaimana untuk membela diri dan dalam hal ini, kami mengambil pendekatan tersendiri bagi menangani kes ini.

"Antaranya melalui kempen Kesedaran Wanita, kempen kerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan ada juga memberi input melalui jemputan media massa seperti temuramah di stesen radio dan juga di televisyen.

Apa yang kami harapkan agar mangsa kes ini berani tampil untuk membuat laporan supaya kami boleh membantu mereka.

"Pihak polis memandang serius kes keganasan rumahtangga ini dan sedia memberi kerjasama untuk mengheret pesalah ke muka pengadilan," jelasnya.






keganasan rumahtangga, statistik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain