suria

Ibu Bapa Kecewa Larangan Guna Keputusan Ramalan SPM

PETALING JAYA: Ibu bapa terus menyatakan rungutan terhadap langkah Kementerian Pelajaran untuk tidak membenarkan penggunaan keputusan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi kemasukan ke program pra-universiti.

Malah mereka berharap supaya kementerian itu menimbang semula keputusan berkenaan.

Mempunyai anak kembar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah di Pulau Pinang tahun ini, Anthony Raj berkata beliau berharap anak-anaknya meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi melalui pengambilan Januari depan.

"Ini lebih baik daripada menggunakan masa selama tiga bulan untuk mempelajari sesuatu yang tidak berkaitan dengan laluan akademik yang mereka pilih.

"Juga jika seseorang itu mula mengikuti kursus pada Januari namun mereka tidak menyukai kursus itu, mereka boleh menukar bidang apabila keputusan sebenar diperoleh," katanya.

Anthony berkata jika peraturan itu dikuatkuasakan, beliau tidak akan teragak-agak untuk menghantar anak perempuannya ke luar negara bagi mengikuti pengajian peringkat A-Level agar mereka boleh menamatkan pengajian lebih awal.

Selain itu seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Chun berkata, peraturan itu tidak masuk akal.

"Kolej swasta dan universiti telah menerima keputusan ramalan selama lebih 30 tahun. Ia benar-benar menyakitkan.

"Perubahan peraturan ini tidak adil bukan sahaja kepada pelajar, tetapi bagi ibu bapa juga," Kata ibu yang anaknya akan menduduki SPM pada November.

Baru-baru ini Kementerian Pelajaran mengeluarkan larangan penggunaan keputusan peperiksaan percubaan SPM untuk mengikuti program pra-universiti dan asasi di IPTS bermula 2015.

Bagaimanapun larangan itu tidak terpakai bagi pelajar yang ingin mengikuti kursus jangka pendek.

Artikel Lain