suria

Pembangunan Kota Mekah, Khidmat TH Beri Keselesaan Kepada Jemaah - Muhyiddin

Muhyiddin menziarahi jemaah haji Malaysia yang sedang menerima rawatan di Pusat Rawatan Aziziah iaitu salah sebuah daripada tiga pusat rawatan yang disediakan TH. Turut kelihatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (kanan).
MEKAH: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pembangunan Kota Mekah dan Masjidilharam serta peningkatan perkhidmatan haji yang diberikan Tabung Haji (TH) telah memberi banyak keselesaaan kepada jemaah haji.


Beliau berkata demikian apabila ditanya media Malaysia mengenai perbezaan pengalamannya mengerjakan haji buat pertama kali tiga dekad lepas dan masa kini setelah menziarah jemah haji Malaysia yang menerima rawatan di Pusat Rawatan Tabung Haji Aziziah di sini Selasa.

Beliau tiba di sini Ahad untuk mengerjakan haji bersama isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, empat orang anaknya dan dua lagi anggota keluarga yang lain.

Muhyiddin, yang mengerjakan haji pertamanya dengan muassasah Tabung Haji pada 1980an berkata: "Banyak yang berbeza.

"Saya rasa agak istimewa (kali ini) terutama melihat keadaan di Mekah dan Masjidilharam sekarang dan 30 tahun lepas, agak berbeza," katanya.

"Waktu saya solat (di Masjidilharam), saya lihat kerajaan Arab Saudi telah mengambil inisiatif agak besar untuk memperluaskan ruang untuk jemaah haji, dan bertingkat-tingkat. Saya tidak dapat bersolat di bawah, telah dapat naik ke atas (untuk beribadah)," katanya.

Beliau juga berkata, sistem pengangkutan di Mekah kini lebih tersusun dan kurang sesak seperti tahun 1980an, dan begitu juga tahap kebersihan Kota Mekah yang jauh baik daripada masa dahulu.

"Seronok mengerjakan ibadah haji, amat terasa sekali," katanya.

Menyentuh mengenai TH, Muhyiddin berkata, kemudahan penginapan, pengangkutan dan perkhidmatan yang disediakan jauh lebih baik berbanding 30 tahun dahulu.

Malah perkhidmatan TH sebagai sebuah badan yang mengurus jemaah haji Malaysia amat terkenal di dunia, malah diakui sendiri oleh Raja Arab Saudi Raja Abdullah dalam setiap mesyuarat dengan menteri-menteri haji, katanya.

Muhyiddin berkata: "Setiap tahun banyak negara ingin mencontohi TH. Kita beri bimbingan dan sumbangan dalam urusan haji (kepada negara-negara lain) supaya pengurusan haji dunia lebih baik atau setara (dengan TH) pada masa akan datang, dan ia menjadi satu kebanggaan bagi Malaysia."

Beliau juga berharap semua 22,320 jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini dapat menyelesaikan ibadah haji mereka sebaik mungkin.

Muhyiddin juga turut mengucapkan tahniah kepada pengurusan tertinggi dan petugas TH yang setiap tahun mengorbankan masa dengan meninggalkan tanah air untuk berada di Tanah Suci untuk mengendalikan jemaah haji dengan layanan yang sebaik mungkin, dan telah menjadi satu institusi contoh.

Menurut media tempatan baru-baru ini, Raja Arab Saudi mengarahkan kawasan Masjidilharam yang baru diperbesarkan, dibuka untuk tujuan ibadah bagi menampung dua juta jemaah haji tahun ini.

Dengan titah diraja, jemaah haji kini boleh beribadah di dalam kawasan masjid dan halamannya di sebelah barat, selatan dan timur dalam projek pembesaran itu yang kini sudah siap 67 peratus.

Baginda juga mengarahkan pegawai membuka kawasan mataf atau laluan tawaf yang diperbesarkan di sekitar Kaabah.

Tindakan itu bagi membantu mengurangkan kesesakan dalam masjid dan membantu jemaah haji mengerjakan ibadah dengan selesa.

Projek pembesaran Masjidilharam itu akan meningkatkan kapasiti masjid bagi menampung dua juta jemaah haji dan mataf daripada 52,000 kepada 130,000 jemaah haji setiap jam.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain