suria

Penternak Ikan Dalam Bahaya Jika Wang Tebusan Tidak Dibayar Segera

Chin Pek Nyen (kanan) isteri kepada mangsa culik, Chan Sai Chiun memegang anak saudaranya di Kunak.
KOTA KINABALU: Isteri kepada penternak ikan yang diculik, bimbang nyawa suaminya Chan Sai Chuin  kini dalam bahaya.

Kumpulan lelaki bersenjata Abu Sayyaf yang menahan lelaki berusia 32 tahun itu di lokasi yang tidak didedahkan di pulau Jolo semakin tidak sabar dan menuntut wang tebusan dibayar serta-merta untuk dia dibebaskan atau berdepan kemungkinan mati.

Lelaki bersenjata memberitahu isterinya Chin Pek Nyen, 42, bahawa masa yang cukup telah diberikan kepadanya untuk menyediakan wang tebusan sejumlah RM3 juta dan sebarang kelewatan akan meletakkan suaminya dalam bahaya.

"Mereka beritahu suami saya sedang sakit dan hampir mati.

"Saya tak tahu adakah ia benar tetapi saya sangat takut," kata Pek Nyen, sambil menambah kumpulan lelaki bersenjata telah membenarkan suaminya menghubunginya beberapa kali.

"Ia seperti meletakkan pertaruhan terhadap kehidupan suami saya," katanya, sambil menambah dia sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan bantuan orang ramai bagi mendapatkan wang pembebasan suaminya.

"Saya hanya mampu meminjam kira-kira RM100,000 daripada rakan-rakan dan saudara-mara setakat ini. Saya tidak boleh mendapatkan lebih daripada itu," kata Chin ketika dihubungi.

Bagaimanapun, Pek Nyen berharap kerajaan Malaysia dan Filipina akan membantu dalam mendapatkan pembebasan suaminya.

Sai Chuin telah diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang mempunyai kaitan dengan Abu Sayyaf dari sebuah sangkar ikan di Kunak pada 16 Jun.

Anggota polis marin Konstabel Zakiah Aleip, 26, telah diculik kira-kira sebulan kemudian di Semporna.

Difahamkan lelaki bersenjata yang menculik Zakiah menuntut sehingga RM5 juta untuk pembebasannya.

Rundingan melalui pengantara menghadapi jalan buntu kerana tuntutan wang tebusan yang tinggi.

Artikel Sebelum

Peperiksaan Semula UPSR Bermula

Artikel Berikut

Artikel Lain