suria

18 Laporan Kes Jongkong Emas Bernilai RM4 Juta Diterima - Polis

Abdul Rahim Hanafi
GEORGE TOWN: Lapan belas laporan polis diterima berhubung penipuan melibatkan kes jongkong emas bernilai RM4 juta di negeri ini, kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi.


"Kertas siasatan kes itu 70 peratus lengkap dan setakat ini kami telah mengambil keterangan daripada 12 individu," katanya.

Bercakap kepada pemberita di sini, Isnin, Abdul Rahim berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan polis sedang mengesan beberapa lagi mangsa untuk diambil keterangan.

Beliau ditemui selepas majlis penghargaan kepada seorang pengawal keselamatan, Mohd Najib Ahmad, 30, yang menembak mati seorang lelaki yang cuba merompak sebuah bank di Sungai Dua di sini, 28 Ogos lepas.

Pada Ahad, Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam sidang akhbarnya meminta polis mengambil tindakan terhadap seorang lelaki yang didakwa menjalankan urusan jual beli jongkong emas kepada sekumpulan individu dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran.

Abdul Rahim berkata, polis merampas 100 keping cek yang dipercayai digunakan untuk urusan jual beli jongkong emas itu.

"Kami tidak pernah tutup kes ini sebaliknya masih meneruskan siasatan dan untuk pengetahuan semua siasatan jenayah komersial tidak sama dengan kes jenayah biasa kerana polis perlu lengkapkan kertas siasatan untuk sebarang tindakan lanjut iaitu sama ada dia (suspek) ditahan atau terus didakwa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim berkata, polis menyiasat kes seorang lelaki yang ditemui mati selepas dipercayai terjun dari tingkat satu bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di Kepala Batas, di sini Ahad.

"Kami buka kertas siasatan untuk menyiasat sama ada kemungkinan terdapat kelalaian atau kecuaian di pihak pegawai polis berkenaan dan jika terdapat perkara sedemikian saya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas," katanya.

Beliau berkata, lelaki berusia 56 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu mempunyai tujuh waran tangkap berkaitan kes penipuan di seluruh negara.

Dia ditahan di Kuantan, Pahang berhubung satu laporan polis di Butterworth berkaitan kes tipu.


Artikel Sebelum

Artikel Lain