suria

MH370: Malaysia, Australia, China Jalin Kerjasama Misi Pencarian Fasa Kedua

TAIPING: Malaysia, Australia dan China akan bekerjasama di bawah satu perjanjian tiga hala, dalam mengerahkan aset-aset efektif bagi misi pencarian fasa kedua pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak Mac lepas.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perjanjian antara ketiga-tiga negara itu melibatkan beberapa aset antaranya kapal.

Tambahnya, menerusi lawatannya ke China baru-baru ini, Malaysia dan China membincangkan mengenai aspek yang menjadi tumpuan utama iaitu fasa kedua dalam pencarian MH370.

"Saya sedang berbincang dengan pihak China berhubung sumbangan yang akan dibuat pihaknya manakala Australia telah pun mengeluarkan beberapa kapal daripada syarikat swastanya yang ditender untuk pencarian tersebut.

"Pada pencarian sebelum ini, saya hendak mengesahkan tiada satu negara pun yang menuntut satu sen daripada kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bukit Gantang 2014, di sini, Sabtu.

Beliau berkata fasa kedua MH370 dijalankan bagi memberi keyakinan kepada keluarga penumpang dan anak kapal bahawa pencarian pesawat MH370 akan diteruskan sehingga ia ditemui.

Hishammuddin turut berkata beberapa jawatankuasa juga telah ditubuhkan bagi menghadapi fasa kedua dalam membantu pencarian MH370.

"Jawantankuasa teknikal, jawatankuasa komunikasi dan jawatankuasa aset semua ini telah ditubuhkan dan diagihkan mengikut kementerian dan di Mindef (Kementerian Pertahanan) saya akan pastikan aset-aset yang kita gunakan dalam misi itu dapat membantu pencarian," katanya.

Beliau berkata kapal kepunyaan Petronas, Go Phoenix pada waktu ini sedang dalam perjalanan ke Perth, Australia untuk turut serta dalam pencarian pesawat MH370.

"Saya dengan Tan Sri Shamsul (Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas), Insya-Allah bulan depan akan pergi ke Perth berjumpa dengan petugas Go Phoenix dan mereka yang terlibat untuk dapatkan maklumat butiran terkini," katanya.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam pada 8 Mac dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian semasa melintasi ruang udara Laut China Selatan.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi pada keesokan hari.

Sementara itu, Hishammuddin berkata pada waktu ini kawasan nahas pesawat MH17 masih belum dibenarkan masuk memandangkan kawasan itu sedang bergolak.

Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur bersama 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Pesawat Boeing 777-200 itu ditembak jatuh di Donetsk berhampiran sempadan Rusia.
MH370, MAS, Hishammuddin Tun Hussein

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

DBKL Nafi Berat Sebelah

Artikel Lain